Nama Mane tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penggemar EPL kerana aksinya memang ditunggu-tunggu.
Penyerang berbisa berusia 27 tahun ini merupakan penjaring terbanyak musim 2018/19, berkongsi rekod dengan rakan gandingan hebat, Mohamed Salah di Anfield.
Hakikatnya tidak semua yang tahu kisah sebenar kehidupan pemain antarabangsa Senegal ini sebelum bergelar bintang.
Mane (gambar bawah) dilahirkan pada 10 April 1992 di Sedhiou, Senegal dan membesar di sebuah perkampungan kecil di Bambali.
Kampung itu hanya mempunyai 24,213 populasi penduduk atau lima peratus daripada jumlah penduduk di Liverpool.
Ketika membesar, Mane tinggal bersama saudaranya memandangkan dia mempunyai jumlah adik beradik yang ramai, menyebabkan dia tidak mendapat keperluan asas hidup.
“Ibu bapa saya tidak pernah ada duit untuk menghantar saya ke sekolah. Setiap pagi dan petang saya akan pergi bermain bola sepak dengan kawan-kawan di jalanan.
“Ketika remaja, saya hanya tahu Liga Perdana yang ditonton di televisyen. Hanya Liga Perdana. Ia adalah impian besar untuk saya.”
Namun inspirasi bergelar pemain bola semakin berkobar-kobar pada Piala Dunia 2002 apabila negaranya mara ke suku akhir pada penampilan pertama di pentas antarabangsa.
Menurut Mane, selepas Piala Dunia, dia dan kawan-kawannya mula membuat pertandingan di kampung mereka. Mane bercadang mempelajari untuk bermain bola sepak dan keluarganya akur selepas beliau memujuk berkali-kali untuk pergi ke pusat bandar Dakar City dan keluarganya telah menjual semua hasil tanaman untuk menampung perbelanjaan beliau.
“Apabila saya berpindah ke Dakar, saya tinggal dengan sebuah keluarga yang tidak dikenali. Saya hanya menawarkan mereka sedikit wang dan jelaskan mengenai tujuan sebelum dibenarkan tinggal di situ. Mereka menjaga dan melakukan segalanya untuk bantu saya dalam bola sepak,” katanya.
Ketika berusia 15 tahun, Mane terpilih ke kelab Perancis Metz sebagai pemain profesional. Pada mulanya, ibunya tidak mempercayai bahawa Mane berada di Perancis untuk memulakan kariernya. Setelah dia menonton televisyen baharulah dia percaya dan menyedari impiannya menjadi kenyataan. – Agensi