Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penguat kuasa EU lawat Twitter, Meta

    SAN FRANCISCO, 22 JUN – Pesuruhjaya EU yang bertanggungjawab menjalankan peraturan baharu yang penting mengenai kandungan dalam talian Eropah akan ke San Francisco hari ini untuk memastikan platform besar sudah bersedia.

    Lawatan selama dua hari oleh Thierry Breton datang hanya beberapa minggu sebelum Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Kesatuan Eropah berkuat kuasa sepenuhnya bagi platform terbesar dunia, termasuk Facebook dan Instagram, kedua-duanya dimiliki oleh Meta, serta TikTok dan Twitter.

    Breton akan bertemu Mark Zuckerberg dari Meta dan pemilik Twitter, Elon Musk, yang mengambil alih platform yang sangat berpengaruh itu lewat tahun lalu.

    Semua perhatian tertumpu kepada Musk, yang sejak mengambil alih Twitter, telah mengubah banyak peraturan tentang bahasa yang dibenarkan di laman tersebut, walaupun jika ia dianggap menghina atau menyampaikan kebencian dan maklumat palsu yang bertentangan dengan peraturan baharu EU.

    Breton juga merancang untuk bertemu di California dengan Sam Altman, ketua eksekutif OpenAI, syarikat teknologi di belakang ChatGPT serta bos pembuat cip AI, Nvidia.

    Penggubal undang-undang EU sedang menjalankan rundingan akhir untuk melengkapkan Akta AI, satu lagi undang-undang Eropah yang dicadangkan yang berpotensi memberikan pengaruh besar terhadap syarikat teknologi besar Amerika Syarikat (AS).

    “Saya adalah penguat kuasa. Saya mewakili undang-undang, yang merupakan kehendak negara dan rakyat,” kata Breton kepada Politico bulan lalu semasa mengumumkan lawatan itu.

    Dalam usaha untuk meyakinkan orang Eropah, Musk telah bersetuju bahawa Twitter menjalani ujian tekanan DSA untuk melihat sama ada platformnya akan mencapai piawaian EU, walaupun hasilnya tidak akan diumumkan. – AFP

    Dalam ilustrasi gambar berkenaan, skrin telefon memaparkan gambar Elon Musk dengan logo Twitter ditunjukkan di latar belakang di Washington, DC, 4 Oktober 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda