LABUAN, 2 NOV – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan telah mengetatkan penguatkuasaan di sepanjang kawasan perairan Labuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 21 Oktober hingga 13 November ini, dalam usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.
Pengarahnya, Komander Nor Bakari Abu Bakar berkata penguatkuasaan itu adalah untuk membantu pihak berkuasa tempatan membendung penularan COVID-19 kepada masyarakat setempat.
“Kami akan terus tingkatkan rondaan dan pengawasan di kawasan penempatan setinggan atas air di Saguking Laut dan Sebor Baru yang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD).
Beliau berkata agensi itu telah menggerakkan aset untuk membantu pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar dua penempatan itu termasuk pemasangan kawat berduri di pintu keluar masuk haram.
Nor Bakari berkata 32 pemeriksaan dijalankan ke atas 29 bot laju penumpang dari Labuan-Menumbok-Labuan, dua kapal tunda dan sebuah kapal nelayan sejak awal pelaksanaan PKPB pada 21 Sept sehingga hari ini.
“Pengawasan di sekitar Terminal Feri Antarabangsa Labuan juga diperketatkan untuk memantau kemasukan penum-pang dari Menumbok, Sabah.
“Dua kapal peronda dengan 15 anggota ditugaskan secara bergilir-gilir untuk memastikan operasi pemantauan dan penguatkuasaan di terminal itu berjalan lancar,” katanya. – Bernama
