TOKYO, 6 JULAI – Burung penguin dan memerang yang cerewet tentang makanan di sebuah akuarium Jepun berdepan kesan inflasi, enggan menerima makanan murah yang penjaganya tawarkan gara-gara harga melonjak.
Sebagai sebahagian daripada usaha berjimat cermat, akuarium Hakone-en di rantau Kanagawa tengah Jepun telah membatalkan semua ikan cencaru tradisional yang lebih mahal dan menggantikannya dengan yang lebih murah.
Namun perubahan menu itu belum mendapat persetujuan haiwan-haiwan itu, dengan beberapa penguin menolak apabila ikan cencaru diberikan.
“Mula-mula haiwan itu mengambilnya, kemudian apabila ia tidak menyukainya ia memuntahkannya kembali,” kata ketua akuarium, Hiroko Shimamoto kepada AFP.
Dia membuat spekulasi yang penguin itu mungkin menyedari saiz hidangan baharunya, yang lebih besar daripada saiz standard yang biasa diberikan.
“Ia dapat merasakan sesuatu yang tidak betul,” katanya.
Shimamoto menambah, mereka juga berdepan masalah lebih teruk lagi apabila memerang di akuarium itu menolak ikan murah.
Kemudahan itu berkata ia membuat pertukaran tersebut selepas harga ikan itu melonjak sekitar 20-30 peratus dari tahun lalu, sebahagiannya disebabkan kurang penangkapan.
Akuarium itu tetap membeli ikan cencaru untuk makanan haiwan berkenaan, namun tidak ada rancangan untuk kembali pada menu sebelumnya sehingga harga turun, kata Shimamoto.
“Semuanya akan bergantung apabila harganya kembali normal,” ujarnya lagi. – AFP