DAMSYIK – Haitham Tabakha berusia 60 tahun dan menjalani kehidupan nostalgia yang unik dengan pelbagai barangan antik Syria yang membawanya kembali kepada apa yang disebutnya sebagai kegemilangan Syria yang indah dan menakjubkan.
Bagi Haitham, pada tahun 1950 dan 1980 merupakan tahun yang terbaik dalam kehidupannya. Dia berkata itu adalah masa dan zaman keamanan dan penduduk sentiasa saling sayang menyayangi.
Kediamannya yang berkonsepkan Arab Kuno dan terletak di tengah-tengah kota lama Damsyik, mengumpulkan sejumlah besar barangan antik pada zaman kegemilangan tersebut.
Barang-barang yang dikumpulkan oleh Haitham adalah seperti barangan dapur lama, pam air, duit syiling dan wang kertas malah Haitham turut mengumpul lampu-lampu lama yang unik dan menakjubkan.
Haitham mempercayai bahawa setiap koleksi antik itu mempunyai ceritanya yang tersendiri malah kediamannya dipenuhi dengan koleksi-koleksi antik ini.



Rumah Haitham juga digunakan sebagai muzium dan telah menjemput beberapa orang pelakon hebat Arab, pelajar dan juga pegawai-pegawai kerajaan untuk menyaksikan dengan lebih dekat pameran antik tersebut.
Memakai pakaian tradisi Arab
Bagi menambah lagi minatnya terhadap barangan antik dan nostalgik, Haitham turut memakai pakaian tradisi Arab lama, iaitu pakaian sutera panjang dan topi merah yang dikenali sebagai Tarboush.
Bagi menceriakan para pengunjung yang datang, Haitham turut mendeklamasikan puisi Arab lama yang penuh estetik dan membawa makna yang tersendiri.
“Mengumpul barang-barang lama telah menjadi obsesi saya sejak kecil lagi dan ia berterusan sehinggalah ke hari ini,” katanya kepada Xinhua.
Pada mulanya, Haitham hanya menjual dan mengumpul pakaian-pakaian lama di mana kedai tersebut terletak berdekatan dengan kediamannya.
Perniagaan pakaian-pakaian lama itu diwariskan kepada anak-anaknya namun bukan hobinya yang suka mengumpul barangan-barangan antik.
“Mereka sentiasa sibuk dengan urusan pakaian itu sementara saya pula sibuk dengan mengumpul barangan-barangan antik,” katanya kepada media. Hiatham mempercayai bahawa setiap individu mempunyai obsesi dan hobi yang mendalam dalam kehidupan mereka.
Aktif mencari barangan baharu
Walaupun usia semakin meningkat, Haitham berkata bahawa dia sentiasa aktif mencari barangan baharu untuk menambah lagi koleksinya. “Ini adalah hobi yang sentiasa mengalir dalam darah saya dan tidak kira beberapa banyak yang saya dapat, saya selalu mahukan yang lebih, namun hobi ini memerlukan wang yang banyak serta ruang yang lebih luas,” katanya kepada media.
“Setiap kali saya mempunyai wang, saya pasti akan membeli barangan antik yang baharu,” tambahnya.
Hiatham turut berkata bahawa muziumnya itu adalah tempat persemadiannya di dunia ini dan beberapa masalah akan hilang apabila berdepan dengan cabaran dunia serta menjalani kehidupan yang indah dan dicintainya di kediamannya itu.
“Apabila saya memasuki kediaman saya, sepertinya saya kembali ke dunia yang lalu, indah dan mendamaikan. Ia adalah satu kehidupan yang lain sehingga menyebabkan saya lupa tentang pelbagai masalah ketika berada di muzium tersebut,” kata Haitham kepada Xinhua.
Semasa peperangan berlaku di sekitar Damsyik, Haitham menjalani kehidupan yang menakutkan dan menyedihkan malah kebanyakan barangan antiknya telah dicuri oleh penduduk yang tidak bertanggunjawab sehingga membuatkan dirinya tidak dapat tidur dengan lena sepanjang malam.
Dia turut berkata bahawa jika dia dapat tidur pun, dia masih lagi memikirkan tentang keselamatan barangan antiknya itu.
Kini, dunia sudah berbeza, peperangan telah berakhir di Damsyik pada Mei beberapa tahun yang lalu. Kini, dia hidup dengan selesa dan aman. – Xinhua