Thursday, March 27, 2025
24.4 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Pengumuman Israel usir rakyat Palestin langgar piagam antarabangsa

RIYADH, 25 MAC – Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Albudaiwi mengecam sekeras-kerasnya pengumuman pihak berkuasa Israel mengenai penubuhan sebuah agensi khas bagi mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Saudi (SPA).

Agensi itu meluluskan pengasingan 13 kawasan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, sebagai langkah awal untuk mengesahkan mereka sebagai penempatan penjajah yang sah, menurut laporan itu.

Albudaiwi menegaskan bahawa pengumuman itu adalah satu pelanggaran terang-terangan terhadap semua piagam, perjanjian dan undang-undang antarabangsa, selain menjadi ancaman serius kepada keselamatan serta kestabilan rantau berkenaan.

Beliau turut menegaskan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi GCC kepada rakyat Palestin dalam menghadapi tindakan zalim serta menyalahi undang-undang oleh tentera Israel.

Dalam pada itu, Albudaiwi menekankan kepentingan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh terhadap isu Palestin, demi menjamin kestabilan serantau.

Beliau juga menggesa pematuhan penuh terhadap ketetapan undang-undang antarabangsa serta prinsip penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967, yang menjamin penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – Bernama

Wanita dan kanak-kanak menunggang di belakang kereta yang ditarik keldai di tengah-tengah kekurangan bahan api yang berterusan di Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 24 Mac. – AFP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda