Sunday, July 13, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan AI di tempat kerja perlu telus, etika

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Kecerdasan Buatan (AI) kini digunakan untuk meramal risiko, memantau secara masa nyata dan mempercepatkan pengesanan bahaya daripada peranti pintar, dron kepada sistem automasi. Inovasi berkenaan menjadikan tempat kerja bukan hanya lebih selamat tetapi lebih pintar dan responsif.

    Namun, sikap realistik dan waspada masih diperlukan kerana jika AI tidak dikawal dengan baik, ia boleh membawa risiko baharu, baik dari segi fizikal mahupun daripada segi psikologi.

    “Pemantauan berlebihan juga boleh mewujudkan tekanan kepada pekerja. Kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan akibat automasi bukanlah sekadar persepsi. Didapati, di peringkat global, sebanyak 36 peratus pekerja menjangkakan ini akan berlaku manakala 57 peratus menjangkakan AI akan mengubah cara bekerja.”

    Oleh itu, penerimaan teknologi berkenaan, perlu dipandu oleh prinsip ketelusan, etika, pengawasan manusia dan perlindungan privasi.

    Saranan dan penekanan itu dibuatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas SHENA, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapan pembukaannya yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Lembaga Pengarah SHENA, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, bagi mewakili Yang Berhormat Pehin di Perasmian Persidangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHCON) 2025 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menekankan potensi transformasi AI dan pendigitalan dalam analitik ramalan, teknologi boleh pakai serta pemeriksaan berasaskan AI selain menegaskan keperluan pelaksanaan beretika, pengawasan manusia serta penjagaan kesejahteraan mental dalam menghadapi perubahan pesat era digital.

    Beliau turut menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap rangka kerja kawal selia yang kukuh dengan merujuk kepada Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Bekerja di Tempat Tinggi) 2025 dan pindaan kepada Peraturan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025.

    Dalam ucapan Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyeru kepada pendekatan menyeluruh negara ke arah membina budaya keselamatan berpaksikan rakyat yang berdaya tahan, berpandukan prinsip Maqasid Syariah.

    Persidangan itu dianjurkan oleh Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) bagi memperingati sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja dengan tema, Merevolusikan Kesihatan dan Keselamatan: Peranan AI dan Pendigitalan di Tempat Kerja yang menekankan bagaimana automasi, analitik data, sistem pintar dan pengurusan tenaga kerja berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) boleh mengubah amalan di tempat kerja.

    Walaupun AI menawarkan potensi besar untuk meningkatkan keselamatan melalui pemantauan bahaya secara masa nyata, analisis risiko secara ramalan dan latihan keselamatan yang disesuaikan, ia juga menimbulkan cabaran baharu termasuk privasi data, etika penggunaan teknologi dan kesiapsiagaan tenaga kerja.

    Seiring dengan kemajuan agenda transformasi digital negara, WSHCON 2025 menjadi platform penting bagi pengawal selia, peneraju industri dan penyedia teknologi untuk berkongsi pengetahuan dan berkerjasama dalam mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat dan pintar.

    Pada perasmian persidangan berkenaan, ucaptama khas bertajuk, The Role of Articial Intelligence (AI) and Digitalisation in Occupational Safety and Health, disampaikan oleh Profesor Ts. Dr Abdul Mutalib Leman dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta ahli Lembaga Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Malaysia di mana beliau menggariskan perspektif utama yang merangka perbincangan sepanjang persidangan berkenaan.

    WSHCON 2025 turut menampilkan sesi pembentangan daripada pakar-pakar serantau dari institusi-institusi termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan Scorpion Tact Services Sdn Bhd dari Malaysia serta Institute of Ergonomics and Hygiene (IEH) dan AcuiZen Technologies dari Singapura,.

    Para peserta membincangkan pelbagai topik sepanjang program persidangan selama tiga hari berkenaan termasuk impak AI terhadap peranan pekerjaan dan amalan keselamatan yang mampan melalui pendigitalan, pelaporan penyakit pekerjaan, kemas kini prestasi keselamatan kebangsaan, kawalan radiasi dan langkah penguatkuasaan.

    WSHCON 2025 menampilkan sebanyak lapan sesi panel yang membincangkan teknologi Industri 4.0, pematuhan kontraktor, keselamatan berasaskan tingkah laku, kebersihan pekerjaan, strategi keselamatan inklusif dan pengurusan risiko.

    Lebih daripada 20 ahli panel professional dari pelbagai sektor juga telah terlibat dalam persidangan disertai dengan 30 tapak pameran dari agensi kerajaan dan pihak industri swasta.

    Hajah Farida menyampaikan ucapan pembukaan bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas SHENA.
    Atas & Bawah: Antara yang hadir ke majlis berkenaan.

    Pembentangan ucaptama oleh Profesor Ts Dr Abdul Mutalib Leman.
    Hajah Farida semasa mengadakan lawatan ke pameran oleh agensi kerajaan dan pihak industri swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda