TOKYO, 2 OKT – Pengundi Jepun menunjukkan kesediaan untuk menerima bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi sebagai perdana menteri wanita pertama negara itu, menurut akhbar The Mainichi, hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Parti pemerintah Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP), akan mengadakan pemilihan kepimpinan pada 4 Oktober dan selepas itu pemenangnya secara lazim akan dilantik sebagai perdana menteri.
Daripada mereka yang ditemu bual, 25 peratus menyokong Takaichi, manakala 21 peratus memilih Menteri Pertanian, Shinjiro Koizumi, anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi.
Dalam kalangan penyokong parti pemerintah, Koizumi mendahului, diikuti oleh Takaichi, manakala tiga calon lain memperoleh sokongan antara tiga hingga 10 peratus. Sementara itu, 34 peratus responden menyatakan mereka sukar untuk membuat pilihan. Dengan populariti parti yang semakin merosot, pandangan umum mungkin mempengaruhi keputusan pengundi individu.
Tiada calon dijangka menang secara mutlak dalam pusingan pertama, dengan Takaichi dan Koizumi dijangka mara ke pusingan penentuan.
Tinjauan itu dijalankan pada 20 dan 21 September melibatkan 1,972 individu dewasa melalui soal selidik, namun margin ralat tidak dinyatakan. – Bernama







