Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pengundian ketua kampung berjalan lancar

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 29 OKT – Penduduk Kampung Pandan A, B dan F telah memilih ketua kampung masing-masing menerusi sesi pengundian yang dijalankan selama tiga hari bermula 27 Oktober menerusi aplikasi PMKK e-Undi hingga hari ini dengan pengundian fizikal di Balai Raya Kampung Pandan.

    Pengundian fizikal berkenaan diselia oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.

    Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah; wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz; Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin dan ketua-ketua kampung dari seluruh Mukim Belait.

    Calon tunggal yang dipilih sebagai Ketua Kampung Pandan A ialah Awang Abdul Aziz bin Haji Seri, seorang pemilik perniagaan berusia 53 tahun dan graduan O Level.

    Sementara itu, dua calon bertanding bagi jawatan Ketua Kampung Pandan B iaitu Awang Muhammad Rawiyani bin Morney, 35 dan Awang Muhammad Saufi bin Haji Suhaili, 33.

    Awang Muhammad Rawiyani juga merupakan graduan O Level dan pernah bekerja sebagai operator forklift di sebuah syarikat swasta dan aktif mengurus dan menyertai aktiviti kampung.

    Awang Muhammad Saufi pula merupakan lulusan Sarjana Muda Pendidikan Agama dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan menjalankan perniagaan usaha sama. Beliau juga aktif dalam aktiviti keagamaan dan kesenian sebagai ahli Kumpulan Al-Mauizun.

    Penduduk Kampung Pandan B telah mengundi Awang Muhammad Rawiyani untuk memegang jawatan ketua kampung berkenaan.

    Manakala itu, calon tunggal yang dipilih menjadi Ketua Kampung Pandan F ialah Awang Haszrul Faizal bin Zinni, 42, yang merupakan lulusan O Level dan bekerja sebagai penyelia penjaga tanah di Makmal Tenaga Seria dan pada masa yang sama telah memainkan peranan aktif dalam aktiviti kampung.

    Keputusan pengundian akan dibentangkan kepada Lembaga Pelantikan, Disiplin dan Tatacara Penghulu Mukim dan Ketua Kampung di KHEDN untuk proses selanjutnya.

    Proses penghitungan undian dilakukan di Balai Raya Kampung Pandan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH BELAIT & DANIEL LIM
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH BELAIT & DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...