Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 MEI – Penduduk dari seluruh kawasan Mukim Seria mula mengundi untuk memilih penghulu baharu di Pejabat Daerah Belait Cawangan Seria, hari ini.
Calon tunggal, Awang Mohammad Zainul Halif bin Talip, 43, bermastautin di RPN Lorong Tiga Selatan Seria dan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti Brunei Darussalam dan kini bertugas sebagai pegawai pendidikan bagi Jabatan Pengajian Islam di Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Mukim Seria merangkumi tujuh buah kampung, termasuk Kampung Panaga, RPN Panaga, Lorong Tiga Selatan, Lorong Tengah, Pekan Seria, Kampung Sungai Bera dan Anduki.
Penduduk dari kampung-kampung berkenaan akan membuang undi menggunakan kertas undi atau dalam talian melalui aplikasi e-Undi PMKK sehingga petang 28 Mei apabila undian akan dikira.
Para pengundi diingatkan untuk membawa kad pengenalan asal manakala kakitangan beruniform dinasihatkan membawa lesen memandu.