Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengunjung muzium makan pisang bernilai jutaan dolar

    STRASBOURG, PERANCIS, 20 JULAI – Seorang pengunjung sebuah muzium di Perancis telah menggigit sebiji pisang segar bernilai jutaan dolar yang dilekatkan di dinding minggu lalu, menurut pihak penganjur pada Jumaat, dalam kejadian terbaharu melibatkan karya seni konseptual berkenaan.

    Artis Itali, Maurizio Cattelan — pencipta karya provokatif berjudul ‘Comedian’ yang dibeli pada harga AS$6.2 juta di New York tahun lalu — menyatakan beliau kecewa kerana individu terbabit tidak turut memakan kulit pisang dan pita pelekat sekali.

    Selepas pengunjung yang lapar itu bertindak demikian pada Sabtu minggu lalu, “kakitangan keselamatan segera dan tenang campur tangan,” kata Muzium Pompidou-Metz di timur Perancis.

    Karya seni itu telah “diganti semula dalam beberapa minit,” tambah muzium berkenaan.

    “Oleh kerana buah itu bersifat mudah rosak, ia diganti secara berkala mengikut arahan artis,” jelas kenyataan itu lagi.

    Cattelan menyatakan bahawa pengunjung berkenaan ‘keliru antara buah sebenar dengan karya seni’.

    Karya seni dari pisang segar yang dilekatkan pada dinding dengan pita pelekat sebelum dimakan oleh Justin Sun di Hong Kong pada 29 November 2024. – AFP

    “Sebaliknya, pengunjung itu hanya makan buahnya sahaja, tanpa kulit dan pita pelekatnya,” katanya.

    Karya seni Cattelan yang boleh dimakan itu telah mencetuskan kontroversi sejak ia dipamerkan buat pertama kali pada pameran Art Basel 2019 di Pantai Miami.

    Beliau menjelaskan bahawa karya berbentuk pisang tersebut adalah satu sindiran terhadap pasaran seni, yang pernah dikritiknya sebagai bersifat spekulatif dan gagal membantu artis secara langsung.

    New York Post menyifatkan harga permintaan sebanyak AS$120,000 untuk ‘Comedian’ pada 2019 sebagai bukti bahawa pasaran seni sudah menjadi ‘gila’ dan dunia seni telah ‘hilang arah’. Karya itu juga pernah dimakan sebelum ini.

    Artis persembahan David Datuna telah memakan ‘Comedian’ pada 2019, dengan alasan bahawa dia ‘berasa lapar’ ketika meninjau karya tersebut di pameran Miami.

    Manakala pengasas mata wang kripto kelahiran China, Justin Sun, pula membelanjakan AS$6.2 juta untuk karya itu tahun lalu, kemudian memakannya di hadapan kamera. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda