HONOLULU, 16 JAN – Orang ramai berpusu-pusu ke Taman Negara Gunung Berapi Hawaii kelmarin untuk menyaksikan letusan lava yang memancut tinggi.
Letusan yang bermula pada 23 Disember di kawah puncak gunung berapi Kilauea telah berhenti beberapa kali. Ia disambung semula pagi kelmarin sebagai “aliran lava perlahan yang kecil”, kemudian meningkat menjadi pancutan yang kelihatan setinggi 200 kaki, menurut Makmal Gunung Berapi Hawaii.
Menjelang petang, para pengunjung di taman negara di Pulau Besar dapat melihat dua pancutan dari sebuah titik pandang.
Makmal itu berkata bahawa kemungkinan ketinggian pancutan akan meningkat apabila lebih banyak lava yang kaya dengan gas meletus.
“Taman ini sudah sangat sibuk dengan orang ramai yang ingin menyaksikan letusan ini dan kami menjangkakan jumlah pengunjung akan meningkat apabila berita ini tersebar lagi,” kata Jessica Ferracane, jurucakap taman negara itu, dalam satu e-mel.
Taman Negara Gunung Berapi Hawaii meliputi puncak dua gunung berapi paling aktif di dunia: Kilauea dan Mauna Loa.
Letusan ini boleh dilihat dari banyak titik pandang awam di taman tersebut. Lava tersebut tidak menimbulkan bahaya kepada rumah atau infrastruktur. – AP