TAWAU, 11 MEI – Reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Program MADANI Rakyat
(PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini, yang menawarkan program pertukaran topi keledar secara percuma, diserbu pengunjung sejak pagi tadi.
Biarpun proses penebusan hanya bermula kira-kira 9 pagi, orang ramai dilihat sudah mula beratur panjang membawa topi keledar masing-masing untuk ditukarkan dengan yang baharu seawal pukul 7:30 pagi.
Aslina Alias, 33, berkata dia tidak kisah menunggu lebih awal bagi memastikan dia tidak terlepas peluang mendapatkan topi keledar baharu secara percuma.
“Program ini amat bagus, apabila tahu tentang program pertukaran topi keledar ini dalam media sosial, saya terus rancang dan mengajak rakan lain untuk hadir memanfaatkan inisiatif kerajaan ini,” katanya.
Pengunjung dari Kampung Tanjung Batu Laut di sini, Sabarudin Zainudin, 58, pula menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan menawarkan pertukaran topi keledar secara percuma pada PMR 2025 Sabah. – Bernama
