Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengurangan buku jejas suasana perpustakaan

    INDIANA – Seiring dengan kemajuan era teknologi, semakin banyak perpustakaan universiti di dunia juga melakukan transisi ke arah pendigitalan bagi memenuhi kehendak ramai pelajar yang lebih gemar merujuk berdasarkan sumber secara online kerana dianggap lebih mudah.

    Dari situ, semakin banyak buku-buku hanya tersimpan di rak perpustakaan, dijual atau dikitar semula.

    Namun hakikatnya ada juga pihak yang tetap membela nasib buku-buku yang dicetak terutama ahli akademik yang merasakan bahawa ia adalah sangat penting untuk dijadikan sumber rujukan ketika melakukan kerja-kerja penyelidikan.

    “Tidak semua individu berasa selesa dengan transisi itu dan merasakan sekiranya sumber rujukan semakin berkurangan secara tidak langsung turut menjejaskan proses penyelidikan,” jelas Pengarah Eksekutif Pusat Perpustakaan Komputer (OCLC) Bahagian Perkhidmatan Koleksi, Rick Lugg.

    Rak buku di perpustakaan Universiti Pennyslvania, Indiana (IUP) dipenuhi dengan buku-buku lama yang kurang mendapat perhatian. Monograf berjudul Economic Development in Victorian Scotland terbitan 1978, 1985 dan 1986 kelihatan tetap tersusun rapi di bahagian rak perpustakaan.

    Kebanyakan buku-buku lama di perpustakaan kurang mendapat perhatian kerana ada di antaranya tidak dianggap relevan dengan keadaan semasa. – AP

    “Sebuah buku dengan judul menarik iaitu Personal Finance setentunya akan menarik perhatian orang yang melihatnya namun juga turut berasa kecewa tatkala melihat tahun penerbitannya iaitu 1961 yang jelas cukup lama dan mungkin tidak sama dengan situasi semasa,” jelas Lugg.

    Berikutan daripada faktor kesukaran dalam penyelarasan selama 20 tahun telah membuatkan pentadbir universiti membuat keputusan untuk melakukan pengosongan pada rak buku di perpustakaan.

    Lebih dari 170,000 buah buku telah disenaraikan untuk dikosongkan dari rak buku di universiti ini.

    Ahli fakulti yang memang menggunakan sumber rujukan daripada bahan perpustakaan setentunya menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung perkara ini.

    “Setentunya ia adalah satu tindakan yang cukup menyedihkan umpama sebuah makmal atau klinik yang diarahkan untuk tutup sekali gus menjejaskan tugasan pekerjanya,” jelas Proser Emeritus dalam bidang Sejarah, Charles Cashdollar.

    Berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2009, pakar turut menjelaskan bahawa penyimpanan buku pada jumlah yang terlalu banyak turut memerlukan kos kewangan yang tinggi bagi pengurusan dan penyediaan tempat penyimpanannya di mana ia dikatakan berharga AS$4 bagi sebuah buku.

    Pendigitalan buku dan bahan cetakan lain juga turut mempengaruhi cara pelajar melakukan kerja-kerja penyelidikan.

    Perubahan juga banyak dilakukan pada ruangan perpustakaan demi memastikan ia kekal menjadi bahagian yang dianggap penting di kawasan kampus.

    Semakin ramai pelajar yang gemar menggunakan ruang bilik disediakan bagi melakukan sesi pembelajaran secara berkumpulan dan menikmati hidangan ringan kedai kopi berdekatan.

    “Kini perpustakaan dilihat seperti sebuah ruang tamu pada sebuah kampus dan tidak wajar untuk melihatnya sebagai sebuah gudang,” jelas Pustakawan Universiti Wilayah Oregon dan Presiden Persatuan Kolej dan Penyelidikan Perpustakaan, Cheryl Middleton.

    Semakin ramai yang gemar untuk menggunakan sumber rujukan secara online kerana menganggap ia mudah untuk diakses.
    Sesetengah akademik menjelaskan nilai penyelidikan tidak sama dengan merujuk dan berusaha untuk mencari banyak buku di perpustakaan.

    Sesetengah ahli akademik masih melihat transisi ini sebagai sesuatu yang radikal kerana ia secara tidak langsung turut menjejaskan nilai sesebuah perpustakaan itu.

    Di Universiti Syracuse, ratusan pelajar dan pihak fakulti menentang keras tindakan untuk mengosongkan buku-buku di rak perpustakaan. Lalu, pusat pengajian itu telah mengambil inisiatif untuk membina kawasan untuk menyimpan 1.2 juta buah buku berdekatan dengan kampus ini.

    Di IUP, sebuah universiti wilayah yang terletak 96 kilometer dari Pittsburgh, ramai pihak fakulti yang berasa terkejut ketika pihak universiti mengumumkan mengenai rancangan untuk mengosongkan satu pertiga daripada rak buku di perpustakaan universiti itu.

    Cashdollar turut menekankan bahawa pengurangan jumlah buku di dalam perpustakaan secara tidak langsung turut menjejaskan nilai dalam kajian, mengurangkan usaha pencarian sumber sebagaimana yang sering dialami oleh ramai pelajar.

    “Mengosongkan lebih banyak buku di rak perpustakaan tidak wajar dilihat sebagai satu strategi yang baik untuk mewujudkan lebih banyak ruangan belajar kepada pelajar kerana hakikatnya sumber untuk mereka meneruskan pengajian itu turut dilihat semakin berkurangan,” jelas Profesor Sejarah di IUP, Alan Baumier.

    Kebanyakan perpustakaan juga menjelaskan bahawa misi yang dilakukan adalah penting dalam menyediakan sumber relevan dan terkini kepada pelajar sekali gus terus memelihara sumber lama.

    Portal koleksi penyimpanan besar secara digital, HathiTrust telah menjalinkan komitmen bersama 50 perpustakaan dalam usaha untuk terus memelihara lebih dari 16 juta cetakan buku ke dalam bentuk digital.

    Manakala, sebuah jawatankuasa dikenali sebagai Moerland di IUP juga dilihat terus berusaha untuk memastikan karya penting terus berada di rak perpustakaan universiti itu.

    Jumlah buku yang direncanakan untuk dikosongkan masih berada dalam perkiraan bagi memastikan buku yang berharga tidak disingkirkan.

    Sesetengah pelajar turut menyuarakan mengenai rasa kebimbangan terhadap jumlah buku yang terhad di dalam perpustakaan dan memilih untuk mengaksesnya secara online. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda