WASHINGTON, 11 JAN – Amerika Syarikat (AS) telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan anggaran 1.9 peratus tahun ke tahun pada 2023, menurut laporan pusat penyelidikan Rhodium Group kelmarin – satu penurunan yang dialu-alukan, tetapi tidak mencukupi untuk mencapai sasaran Perjanjian Paris.
Pengeluar gas rumah hijau kedua terbesar di dunia ini telah berjanji untuk mengurangkan separuh pelepasannya menjelang 2030 berbanding paras 2005 – bermakna kadar penurunan pada 2023 ‘perlu tiga kali ganda lebih banyak dan berkekalan pada tahap tersebut setiap tahun dari 2024 hingga 2030 untuk mencapai sasaran iklim AS’, menurut laporan itu.
Buat masa ini, penurunan sejak 2005 adalah sebanyak 17.2 peratus, mengikut anggaran ini.
Pengurangan pelepasan pada 2023, berbanding 2022, adalah disebabkan oleh penurunan penjanaan tenaga elektrik dari arang batu, yang secara beransur-ansur digantikan oleh stesen jana kuasa gas dan tenaga boleh diperbaharui.
Penurunan ini adalah ‘satu langkah ke arah yang betul’, kata kumpulan itu.
“Tetapi tarikh akhir untuk mencapai sasaran iklim AS menjelang 2030 di bawah Perjanjian Paris bagi pengurangan 50 hingga 52 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau dari paras 2005 semakin menghampiri dan pencapaian matlamat itu kelihatan semakin mencabar tanpa adanya dorongan dasar baharu yang besar,” tambahnya.
Ia juga menunjukkan bahawa masih terlalu awal untuk menilai rancangan pelaburan utama Presiden Joe Biden untuk peralihan tenaga. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/01/P21-2A-web-Freepik_12012024.jpg)