WASHINGTON, 12 NOV – Syarikat penerbangan di seluruh Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan penerbangan sebanyak enam peratus mulai kelmarin, meskipun terdapat keyakinan yang semakin meningkat bahawa penutupan kerajaan persekutuan akan berakhir tidak lama lagi.
“Hari ini (Selasa), kami meningkatkannya sebanyak dua peratus lagi. Kini jumlah pembatalan penerbangan di ruang udara mencecah enam peratus. Ada yang bertanya, ‘Bila awda akan mula menarik balik pengurangan itu?’ Jawapannya, semua ini berdasarkan data,” kata Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy kepada wartawan pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Chicago.
Duffy gesa Kongres supaya segera meluluskan langkah dwipartisan bagi tamatkan penutupan kerajaan dan beri kelegaan kepada pengembara selepas hampir seminggu gangguan penerbangan di seluruh negara.
“Hari ini (Selasa) kelihatan lebih baik, dan jika Dewan (Perwakilan) melakukan tugasnya, esok (Rabu) saya rasa kita berada di landasan untuk kembali kepada perjalanan udara yang lebih normal, dengan kurang kelewatan dan pembatalan,” katanya.
Bagaimanapun, Duffy memberi amaran bahawa kelewatan dan pembatalan dijangka bertambah buruk menjelang minggu sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving), iaitu antara tempoh perjalanan paling sibuk sepanjang tahun.
Penutupan kerajaan bermula pada 1 Oktober selepas rundingan mengenai keutamaan perbelanjaan persekutuan menemui jalan buntu. Ribuan pekerja persekutuan telah diarahkan bercuti tanpa gaji sejak itu, manakala perkhidmatan kerajaan telah dikurangkan atau digantung. – Bernama/Anadolu


