LONDON – Dalam tempoh sebulan sekali, akauntan Michael Byrne akan memakai kasut but dan merentasi kawasan tebing Sungai Thames.
Dengan langkah penuh berhati-hati, Byrne menandakan kawasan berukuran satu meter persegi dan mengambil katalog bagi setiap bahan plastik yang ditemui untuk memasukkan laporan data alam sekitar di bawah satu kumpulan, Thames21.
Pada 20 Ogos lalu, Byrne bersama rakan sukarelawannya telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 31 pembungkus makanan, 29 batang yang digunakan sebagai alat pemegang kapas, 12 penutup botol dan 100 keping plastik pada saiz kecil.
“Kami merupakan pengumpul data yang berusaha untuk menyediakan bukti bagi memperlihatkan elemen yang memberi kesan buruk terhadap sungai dan lautan. Justeru kami giat melaksanakan usaha ini,” jelas Byrne.
Kesedaran awam terhadap risiko sisa plastik wajar dipertingkatkan selepas ramalan menyatakan bahawa jumlah plastik lebih tinggi berbanding ikan di lautan menjelang tahun 2050.

Sebelum ini pelbagai kempen telah dilaksanakan seperti menampilkan ikan paus yang kelihatan terseksa dijerut oleh beg plastik oleh Sky News Britain, kuda laut yang terjerat oleh kapas berwarna mereh jambu oleh National Geographic dan dokumentari Blue Planet II arahan David Attenborough yang menampilkan penyu laut kelihatan tenggelam akibat diselubungi oleh plastik.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa syarikat terkemuka seperti Amcor, Ecover, Evian, L’Oréal, Mars, M&S, PepsiCo, Coca-Cola, Unilever, Walmart dan Werner & Mertz yang telah menggunakan lebih daripada enam juta tan metrik bahan pembungkusan plastik setiap tahun semakin komited untuk menggunakan bahan-bahan yang boleh digunakan atau dikitar semula menjelang tahun 2025, menurut Yayasan Ellen MacArthur.
Sementara Adidas pula merencana untuk mengeluarkan koleksi pakaian yang dihasilkan dari botol yang dikitar semula dan mempromosikan mengenai ancaman kesihatan yang boleh memberikan kesan kepada manusia sekiranya termakan bahan plastik yang terselit pada daging ikan.
Negozio Leggero, sebuah kedai makanan terkemuka di Itali dan Switzerland pula menawarkan sebanyak 1,500 produk makanan tanpa bungkusan.
Manakala, Iceland yang merupakan sebuah rangkaian pasaraya di Britan pula merancang untuk menghentikan penggunaan bahan plastik pada produk keluarannya menjelang tahun 2023.
“Beberapa syarikat yang sebelum ini dilihat telah memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar telah berusaha untuk bergerak maju ke hadapan tanpa mengira aspek kerugian,” jelas Abigail Entwistle dari Persatuan Fauna & Flora Antarabangsa yang merupakan sebuah organisasi yang telah giat dalam melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan selama 115 tahun.
Syarikat-syarikat ini telah banyak mendapat keuntungan dengan menggunakan bahan plastik tidak kira sama ada dari produk pembersih dan bahan bungkusan yang selalunya hanya akan dibuang begitu sahaja.
Menurut kajian dari Roland Geyer yang merupakan seorang profesor industri ekologi dari Universiti California, Santa Barbara, jumlah plastik yang dihasilkan di peringkat global meningkat kepada 380 juta tan metrik pada tahun 2015 berbanding hanya dua juta tan metrik pada tahun 1950.
Geyser menjangkakan, sekitar 60 peratus daripada 8.3 bilion tan metrik plastik yang pernah dihasilkan berakhir sebagai sisa di mana lebih dari ¾ daripadanya dibuang ke tapak pelupusan.
Sementara itu, sekitar empat hingga 12 juta tan metrik sisa plastik dibuang tanpa bersalah di kawasan persekitaran laut.


Sisa buangan tersebut secara tidak langsung mengancam dan membunuh hidupan laut malah ada di antaranya berasa keliru dan menganggapnya sebagai bahan makanan.
Yayasan Ellen MacArthur turut membahaskan isu ini pada tahun lalu dengan menyatakan bahawa berat plastik di lautan adalah hampir sama dengan berat ikan sekiranya gejala ini terus berleluasa sehingga menjelang tahun 2050.
Menurut Yayasan tersebut, hanya 14 peratus daripada bahan plastik itu yang dikumpulkan dan dikitar semula di mana ia turut mendapat sokongan daripada beberapa buah syarikat terkemuka seperti Google, Nike dan Danone.
Ternyata, kerjasama sebegini juga wajar untuk terus dipertingkatkan.
“Ia bukan hanya setakat satu inovasi, satu peraturan atau satu tindakan kerana untuk menjayakannya ketiga-tiga elemen tersebut wajar untuk dilakukan pada masa yang sama,” jelas Rob Opsomer yang mengetuai projek New Plastics Economy di bawah Yayasan tersebut.
“Kami harus lebih berani dalam merealisasikan cita-cita ini,” jelas Opsomer.
Kumpulan penyelidikan pasaran Mintel menjelaskan bahawa dengan membangkitkan isu ini secara tidak langsung menarik minat pelbagai pihak untuk menghasilkan alternatif bagi menggantikan bahan plastik.
“Lumrah dalam sesebuah perniagaan untuk turut memperuntukkan sejumlah wang pada kos yang agak tinggi di sebalik menerima keuntungan dan ia juga menjadi petanda bahawa apa yang dilakukan itu lebih ke arah yang betul terutama apabila ia berkaitan dengan kebajikan,” jelas Penganalisis Pembungkusan Global di Mintel, Punchard.
Pihak kerajaan dan institusi lain juga giat dalam membincangkan dan memberikan tumpuan terhadap isu ini.
Kesatuan Eropah (EU) juga telah menetapkan sasaran untuk mengitar semula 65 peratus sisa keluaran bandar menjelang tahun 2035, Britain pada tahun lalu mengharamkan penggunaan plastik microbeads dan kerajaan juga mempertimbangkan bagi mewujudkan cukai terhadap setiap plastik yang digunakan sebagai usaha untuk menghentikan penggunaan plastik dalam tempoh 25 tahun.
Geyer menjelaskan bahawa inisiatif tersebut wajar untuk dipandang positif, namun kempen kltar semula dan penggunaan semula bahan buangan hanya berjaya membanteras pencemaran air pada kadar minima dalam tempoh 30 tahun.
Dia percaya bahawa masyarakat wajar untuk diberikan kesedaran mengenai bahaya penggunaan plastik kerana sedikit sebanyak tindakan yang dilaksanakan itu memberi kesan buruk kepada lautan. – AP