Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 57 orang pegawai dan kakitangan awam dari Kementerian Pertahanan telah dikurniakan Pingat Kerja Lama (PKL) sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-77 bagi 2023 dengan majlis penyampaian pingat berlangsung di Blok Menara, Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian pingat kepada para penerima ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; peringkat kepimpinan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan.
Pengurniaan PKL merupakan pengiktirafan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti dan perkhidmatan cemerlang para pegawai dan kakitangan selama lebih 20 tahun berkhidmat.





