Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN –Tindakan pantas seorang pengurus memadam api yang menjilat bahagian dapur restorannya telah berjaya menghalang kebakaran daripada terus merebak ke bahagian lain semasa kejadian yang berlaku pada 26 Jun lalu.
Dalam kejadian itu, pengurus sebuah restoran di Kiulap, Adrian Yong Wu Kong menggunakan pemadam api jenis debu kering untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan sebahagian dapur di restoran tersebut.
Punca api dan kerugian masih dalam siasatan dan tidak ada korban jiwa dilaporkan dan semasa kejadian itu, seramai 10 orang anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan yang diketuai SO Abdul Majid bin Haji Abdul Wahab juga dikerahkan ke tempat kejadian.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) turut menyarankan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan bangunan dilengkapi dengan peralatan kecemasan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 2kg dan selimut api selain memastikan mana-mana suis peralatan elektrik dimatikan selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan.
Di samping itu, orang ramai juga hendaklah memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan sentiasa membuat penyelenggaraan dengan teratur bagi mengelakkan kebakaran merebak.
