BERLIN, 18 MEI – Sebastian Hoeness telah dipecat oleh kelab Bundesliga Hoffenheim kelmarin kerana gagal mendapatkan tempat di Eropah untuk musim depan berikutan beberapa siri keputusan buruk.
Lima hari selepas hari jadinya yang ke-40, Hoeness ditunjukkan pintu keluar apabila Hoffenheim menduduki tempat kesembilan dalam liga utama Jerman, ketinggalan enam mata daripada tempat dalam Liga Persidangan Eropah.
Nasib pengurus Hoffenheim itu sudah ditentukan apabila pasukannya menamatkan saingan liga pada musim ini dengan kekalahan memalukan 5-1 kepada Borussia Moenchengladbach pada Sabtu lalu.
Hoffenheim sebelumnya berada di tempat keempat di tempat Liga Juara-Juara pada pertengahan Mac, tetapi telah tercicir semenjak tewas tiga perlawanan terakhir dan bolos 13 gol dalam saingan tersebut. Hoeness, yang menyertai Hoffenheim selepas melatih pasukan simpanan Bayern, adalah jurulatih keempat yang berpisah dengan kelab Bundesliga dalam selang beberapa hari.
Pengurus Florian Kohfeldt pula dipecat oleh Wolfsburg pada Ahad lalu, sehari selepas pasukannya bangkit untuk memperoleh keputusan seri 2-2 di tempat sendiri menentang Bayern. – AFP
