Pengurus kilang dibunuh hina tuhan

SIALKOT, PAKISTAN, 5 DIS – Lebih 100 orang telah ditahan di Pakistan setelah pengurus kilang dari Sri Lanka dibelasah sehingga mati dan dibakar oleh sekumpulan yang menuduhnya menghina tuhan, menurut Perdana Menteri Imran Khan, kelmarin.

Pembunuhan tersebut mencetuskan kemarahan, dengan Khan menggelarnya sebagai ‘hari yang memalukan buat Pakistan’ dan kemudian berkata beliau sudah berhubung dengan presiden Sri Lanka mengenai pembunuhan itu.

Beberapa isu menghina tuhan, termasuk penghinaan terhadap Islam boleh menyebabkan bantahan dan pembunuhan.

Khan menulis melalui Twitternya berkata, “Saya sudah berhubung dengan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa hari ini di Emiriah Arab Bersatu untuk menyampaikan kemarahan dan perasaan malu negara kami kepada rakyat Sri Lanka terhadap pembunuhan Piyantha Diyawadana di Sialkot.”

Dia menambah bahawa lebih 100 orang telah ditahan dan akan ‘didakwa dengan keadilan telus undang-undang’. Insiden berlaku pada Jumaat di Sialkot, sebuah daerah di wilayah Punjab, kira-kira 200 kilometer tenggara ibu kota Islamabad.

Pegawai polis tempatan memberitahu AFP bahawa khabar angin menyatakan Diyawadana ‘mengoyakkan poster agama dan membuangnya ke sampah’ dan kira-kira 120 telah ditahan, termasuk seorang dalang utama.

Tahir Ashrafi, seorang tokoh agama dan wakil khas perdana menteri bagi keharmonian agama, mengesahkan penahanan dan memberitahu AFP bahawa pekerja mengadu pengurus kerana ‘terlalu tegas’.

“Pakar polis menyiasat kes dari setiap sudut, termasuk beberapa pekerja kilang yang membalas dendam terhadap pengurus,” kata Ashrafi.

Shehzad berkata serbuan masih diteruskan. – AFP

Para pembantah menyertai demonstrasi di Sialkot selepas pembunuhan ke atas seorang pengurus kilang yang dikatakan menghina agama. – AP