Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengurus rugi lebih RM60,000 ditipu skim pelaburan bitcoin

    KUALA TERENGGANU, 24 DIS – Seorang pengurus inap desa kerugian lebih RM60,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan bitcoin dalam talian.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata pada 19 Disember lepas, mangsa seorang lelaki berusia 30 tahun telah menyertai satu kumpulan aplikasi Telegram yang menawarkan pelaburan bitcoin berasaskan kecerdasan buatan (AI).

    Beliau berkata mangsa yang berasal dari Chendering di sini, tertarik dengan pelaburan itu dan menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    “Mangsa menggunakan wang simpanan ibunya untuk membuat pelaburan terbabit dengan melakukan dua transaksi berjumlah RM62,214.59 ke aplikasi pelaburan bitcoin yang dimuat turun terlebih dahulu.

    “Mangsa kemudian diberikan kod respons pantas (QR) untuk diimbas atas alasan pengesahan kontrak pelaburan AI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun Azli berkata selepas membuat imbasan, mangsa mendapati pelaburan bitcoin dalam aplikasi miliknya telah dipindahkan ke aplikasi pelaburan bitcoin lain yang tidak dikenali.

    “Mangsa yang cemas cuba menghubungi suspek tetapi tidak berjaya. Mangsa kemudian membuat laporan polis Jumaat lepas selepas berasa tertipu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda