KUALA LUMPUR, 31 MAC – Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menggantung pengurus pasukan sepak takraw wanita kebangsaan Wan Mohd Husni Abdullah selama lima tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan atas kesalahan disiplin.
Astaf telah mengarahkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk mengeluarkan surat rasmi kepada Wan Mohd Husni dengan melucutkan semua jawatan dipegang beliau dalam PSM termasuk sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan berkuat kuasa 9 Disember 2019 hingga 8 Disember 2024.
PSM juga diarahkan menghantar salinan surat rasmi tersebut kepada Astaf sebagai bukti tindakan telah diambil selain memberi amaran bakal dikenakan hukuman jika mendapati Wan Mohd Husni gagal mematuhi hukuman dikenakan.
“Secara jelasnya kesalahan yang dicetuskan beliau (Wan Mohd Husni) adalah sangat serius dan juga termaktub dalam Perlembagaan PSM Fasal 34 dan Fasal 40,” kata Presiden Astaf Datuk Abdul Halim Kader dalam surat kepada PSM, hari ini. – Bernama