Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Dua Hala ke-4 antara NDMC dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia, yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, bermula 19 hingga 20 Ogos.
Mesyuarat berkenaan adalah di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Malaysia dalam bidang pengurusan bencana.
Mesyuarat bermatlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama strategik dalam pengurusan bencana di antara kedua-dua buah negara.
Delegasi daripada pihak kerajaan Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarah NADMA Malaysia, Datuk Abdul Halim bin Hamzah dan disertai oleh pegawai-pegawai dari NADMA Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Pengarah NDMC, Dayang Ruhaidah binti Haji Rusli, pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, para pegawai kanan dan kakitangan daripada pihak KHEDN, NDMC, Jabatan Bomba dan Penyelamat, CAE Brunei MPTC (Multi-Purpose Training Centre) serta Jabatan Daerah Temburong.



Sepanjang mesyuarat berlangsung, beberapa perkara telah di-bincangkan termasuk penubuhan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Bencana (DMWG) bagi menterjemah kesepakatan strategik kepada tindakan operasi yang lebih kukuh, memperkemas prosedur rentas sempadan terutamanya dalam meningkatkan koordinasi operasi bersama dan memperkukuhkan kesiapsiagaan serantau secara keseluruhan.
Selain daripada itu, perbincangan juga turut menumpukan kepada perancangan untuk merangka latihan bersepadu rentas sempadan pada masa akan datang, di samping menilai semula latihan terdahulu, meningkatkan keupayaan kedua-dua buah negara dalam bertindak balas secara lebih pantas dan efektif terhadap sebarang bencana pada masa akan datang.
Mesyuarat juga turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam.
Sepanjang keberadaan delegasi Malaysia di negara ini, beberapa program rasmi telah diatur termasuk mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, lawatan kerja ke CAE Brunei MPTC, Rimba Gadong dan lawatan kebudayaan ke Rumah Panjang Sibut di Daerah Temburong.
Pihak NDMC juga menganjurkan Majlis Makan Malam Rasmi sebagai tanda persahabatan.

