(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Apabila berlaku suatu kematian terhadap orang Islam sama ada lelaki ataupun perempuan maka terdapat empat perkara fardhu kifayah yang berkaitan dengan pengurusan jenazah yang wajib dilakukan oleh orang yang hidup, sama ada dari kalangan ahli keluarga ataupun anggota masyarakat. Empat perkara kewajipan fardhu kifayah yang dimaksudkan itu ialah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan menguburkan. Tetapi adakalanya jenazah itu tidak wajib disembahyangkan, dan adakalanya juga jenazah itu tidak wajib dimandikan dan disembahyangkan. Perbezaan ini dilihat mengikut bagaimana keadaan jenazah itu.
Biasa berlaku kedengaran mengenai anak yang mati di dalam perut dan anak keguguran. Maka persoalan yang sering ditimbulkan berkaitan dengan perkara ini ialah bagaimanakah pengurusan jenazah mereka?
Bagi menjawab persoalan tersebut akan dihuraikan bagaimana keadaan-keadaan anak yang mati dalam perut dan anak keguguran dan cara menguruskan jenazah mereka.
ANAK KEGUGURAN
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan disebutkan di dalam kitab fiqh sebagai as-siqth. Sementara jika anak itu gugur melebihi enam bulan kehamilan tidaklah dinamakan sebagai as-siqth. Cara menguruskan jenazah anak keguguran adalah mengikut keadaan-keadaan seperti berikut:
a) Anak keguguran yang diketahui hidupnya
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan yang diketahui hidupnya dengan adanya suara menjerit atau menangis sebelum dia mati maka pengurusan jenazahnya adalah sama seperti jenazah orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan kerana diyakini dia mati selepas hidupnya walaupun tidak sampai empat bulan kehamilan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P13-A-Freepik_14022025.jpg)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
Jika anak (waktu dia dilahirkan) menjerit maka hendaklah dia disembahyangkan dan diwarisi.
(Hadits riwayat Ibnu Majah)
b) Anak keguguran yang tidak diketahui hidupnya tetapi nyata tanda hidup padanya.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan walaupun tidak diketahui hidupnya tetapi nyata tanda hidup padanya sebelum dia mati seperti bergerak-gerak tubuhnya selepas keluar dari perut ibunya, walaupun tidak sampai empat bulan kehamilan maka pengurusan jenazahnya juga adalah sama seperti jenazah orang dewasa iaitu bukan sahaja wajib dimandikan, dikafankan dan dikuburkan malah juga wajib disembahyangkan sebagaimana menurut pendapat yang azhhar. Ini kerana anak tersebut berkemungkinan hidup dengan adanya tanda yang menunjukkan dia hidup. Ini juga dilakukan kerana mengambil langkah berhati-hati.
c) Anak keguguran yang tidak diketahui hidupnya, tidak nyata tanda hidup padanya tetapi nyata kejadiannya dalam bentuk manusia.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum cukup enam bulan kehamilan tetapi mencapai empat bulan kehamilan atau 120 hari (batas umur ditiupkan roh padanya) dan nyata kejadiannya dalam bentuk manusia tetapi tidak diketahui hidupnya dan tidak nyata tanda hidup padanya adalah tidak harus dan tidak wajib bahkan haram disembahyangkan menurut pendapat yang azhhar tetapi wajib dimandikan, dikafankan dan dikuburkan sahaja.
d) Anak keguguran yang tidak diketahui hidupnya, tidak nyata tanda hidup padanya dan tidak nyata kejadiannya dalam bentuk manusia.
Anak yang gugur dari kandungan ibunya sebelum sampai empat bulan kehamilan atau 120 hari (batas umur ditiupkan roh padanya) yang tidak diketahui hidupnya, tidak nyata tanda hidup padanya dan tidak nyata kejadiannya dalam bentuk manusia adalah tidak wajib dimandikan dan disembahyangkan tetapi sunat dibungkus dengan kain dan dikuburkan sahaja.