Sambungan dari minggu lepas
ANAK YANG MATI DALAM PERUT SELEPAS CUKUP ENAM BULAN KEHAMILAN
Setengah keadaan ada juga berlaku situasi di mana seorang perempuan mendapati anaknya mati di dalam perut selepas cukup enam bulan kehamilan.
Jika anak yang dilahirkan dari kandungan ibunya yang mencapai enam bulan kehamilan dalam keadaan mati maka pengurusan jenazahnya adalah sama dengan orang dewasa iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan sebagaimana disebutkan oleh para ulama seperti Imam ar-Ramli, as-Syarwani dan al-Bujairimi Rahimahumullahu Ta‘ala:
Bahawasanya (pengurusan jenazah) anak yang lahir selepas sempurna bulannya iaitu enam bulan kehamilan wajib padanya sebagaimana yang diwajibkan ke atas (jenazah) orang dewasa seperti sembahyang dan selainnya walaupun lahir dalam keadaan mati atau sudah menjadi mayat dan tidak diketahui padanya tanda hidup.
Oleh yang demikian, pengurusan jenazah anak yang mati dalam perut ibunya setelah sampai enam bulan kehamilan adalah sama dengan pengurusan jenazah orang dewasa.
Hukum anak yang mati dalam perut dan anak keguguran yang tidak disembahyangkan sedangkan ia wajib disembahyangkan.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa anak yang mati dalam perut ibunya setelah cukup enam bulan kehamilan dan anak keguguran yang diketahui hidupnya atau nyata tanda hidupnya itu bukan sahaja wajib dimandikan, dikafankan dan dikuburkan, bahkan juga wajib disembahyangkan.
Sekiranya berlaku kesilapan dalam pengurusan jenazah anak damit yang mati dalam perut ibunya setelah cukup enam bulan kehamilan dan anak keguguran yang diketahui hidupnya atau nyata tanda hidupnya itu dengan hanya dikafankan, dimandikan dan terus dikuburkan sahaja tanpa disembahyangkan disebabkan jahil atau tidak tahu mengenai hukum, bagaimanakah kedudukan mengenai perkara ini?
Menyembahyangkan jenazah wajib didahulukan daripada menguburkannya. Jika jenazah itu dikuburkan dahulu dan tidak disembahyangkan tanpa sebarang keuzuran maka berdosalah ke atas siapa yang dituntut menyembahyangkannya. Oleh itu, dalam hal ini jenazah itu hendaklah disembahyangkan di atas kuburnya dan tidak perlu digali semula.
Sehingga bilakah tempoh dibolehkan sembahyang di atas kuburnya?
Para ulama berbeza pendapat mengenai tempoh dibolehkan sembahyang mayat di atas kubur. Namun pendapat yang muktamad menurut al-Qalyubi Rahimahullahu Ta‘ala tempoh menyembahyangkan jenazah yang belum disembahyangkan itu ialah selama-lamanya.
Oleh itu, jika ada berlaku anak yang mati dalam perut ibunya setelah cukup enam bulan kehamilan dan anak keguguran yang nyata hidupnya atau ada tanda-tanda hidup yang wajib disembahyangkan tetapi tidak disembahyangkan semasa menguruskan jenazahnya maka hendaklah disembahyangkan di atas kuburnya.
Demikianlah dijelaskan beberapa permasalahan mengenai pengurusan jenazah anak keguguran dan anak yang mati dalam perut ibunya yang wajib dan tidak wajib disembahyangkan. Perbezaan keadaan mahupun dari segi umur, bentuk kejadian akan membuatkan kedudukan hukum menjadi berbeza sehingga ada yang perlu disembahyangkan dan ada juga yang tidak perlu disembahyangkan. Oleh itu, semua keadaan ini perlu diperhatikan dan difahami dalam menentukan kewajipan fardhu kifayah yang wajib dilaksanakan ke atas jenazah anak keguguran dan anak yang mati dalam perut itu.