Selasa, Julai 29, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengurusan kewangan lebih bijak dalam dunia digital

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai- Pada era telefon pintar dan perkhidmatan atas talian, kewangan digital telah mengubah cara mengurus kewangan.

    Ianya dari perbankan mudah alih ke pembayaran tanpa sentuh, terdapat banyak kaedah teknologi yang sedia ada, namun penggunaan yang bijak adalah penting.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan kelmarin sempena Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD), telah mengongsikan beberapa tip untuk membantu mengurus wang dengan lebih baik, melindungi diri dan orang tersayang, serta membuat keputusan kewangan secara bijak menggunakan kaedah digital.

    Dengan menetapkan matlamat kewangan sama ada merancang untuk melanjutkan pelajaran, membeli rumah, bersara, atau bercuti ke luar negeri, langkah pertama awda hendaklah menetapkan matlamat kewangan yang jelas dan realistik.

    Ini bermula dengan mengenal pasti matlamat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

    Selain menggunakan kaedah digital seperti aplikasi bajet untuk merekod dan menilai perkembangan matlamat secara kerap, matlamat kewanganjuga memberikan hala tuju yang jelas untuk memperuntukkan wang, dengan memastikan setiap simpanan ada matlamatnya.

    Jadikan Menyimpan Wang sebagai tabiat positif dan bukan bebanan, kerana simpanan yang berkesan bermula dengan konsistensi dan disiplin.

    Tetapkan pemindahan secara automatik ke akaun simpanan sebelum berbelanja, di mana jumlah yang kecil pun boleh berkembang dengan ketara.

    Selain itu, semak semula belanjawan secara kerap dan kurangkan perbelanjaan yang tidak penting jika perlu.

    Pembayaran digital juga memberikan cara yang pantas, selamat, dan boleh dikesan untuk mengurus perbelanjaan.

    Ini sama ada melalui kod QR atau pemindahan dalam talian, alat digital membantu mempercepatkan pembayaran dan mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan membawa wang tunai.

    BDCB juga mengingatkan supaya memastikan peranti dan aplikasi sentiasa dikemas kini, gunakan kata laluan yang kukuh, dan pantau transaksi dengan kerap, menggunakan pembayaran digital tidak bererti  tidak perlu mengawal transaksi.

    Apabila transaksi kewangan digital semakin digunakan secara meluas, risikonya juga meningkat, diingatkan untuk hanya berurusan dengan institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB.

    Berwaspada terhadap penipuan kewangan, jangan sekali-kali berkongsi maklumat peribadi atau perbankan, dan laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan segera.

    Pengguna yang celik kewangan ialah pengguna yang terlindung. Layari laman web BDCB untuk senarai penuh institusi kewangan yang berlesen oleh BDCB dan Alert List BDCB.

    Dengan menggunakan kewangan digital, ianya dapat membentuk tabiat kewangan yang lebih kukuh, melindungi wang, dan membuat keputusan yang lebih bermaklumat.

     Sama ada ianya bermula secara kecil-kecilan atau mempunyai matlamat yang besar, setiap langkah yang diambil pada hari ini akan menghasilkan kedayatahanan kewangan untuk masa hadapan.

    Gunakan pengurusan kewangan digital dengan bijak.- Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda