MASA adalah begitu penting bagi manusia. Kerapkali ungkapan berikut dilahirkan untuk menunjukkan kepentingan nilai kepada manusia. Kata-kata yang dilahirkan mengenai masa sama ada dalam bentuk positif atau negatif menunjukkan masa itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam setiap aspek kehidupan.
Ciri-ciri masa
Untuk memperjelaskan kepentingan masa serta kesannya terhadap manusia, cuba kita renungi ciri-ciri masa itu. Masa: Masa ibarat kuasa, tindakan penentu masa, Masa boleh memerangkap kita, Masa adalah tetap dan tepat.
Dari renungan yang kita buat terhadap ciri-ciri yang ada pada masa, bolehlah dibuat huraian dan kesimpulan berikut sebagai satu muhasabah diri tentang kepekaan masa dalam kehidupan kita:
Masa ibarat kuasa
Sama ada kita sedar atau tidak, kehidupan kita ini dikongkong oleh masa. Kata-kata yang sering kita tuturkan setiap hari mengikut situasinya menunjukkan bahawa kita tidak boleh lari dari masa dan ia merupakan faktor yang penting buat kita. Setiap orang akan melihat jam sebagai pengukur masa sama ada pada permulaan atau akhiran sesuatu tindakan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan masa mengawal serta mengatur setiap langkah dalam kehidupan kita.


Tindakan penentu masa
Oleh kerana masa itu telah mengawal kehidupan kita, maka sebarang tindakan itu akan menentukan penggunaan masa. Dalam hal ini ia memberi pengertian bahawa perlunya ada suatu perancangan masa yang strategik agar segala tindakan yang kita lakukan menepati masa serta mendatangkan faedah kepada semua pihak.
Masa adalah tetap dan tepat
Jam sebagai alat pengukur masa sama ada yang dipakai di tangan atau tergantung di dinding tidak semuanya setepat pada waktunya. Walau bagaimanapun pada hakikatnya peredaran masa berjalan dengan tepat dan tetap. Ia datang dan berlalu tanpa menunggu sesiapa dan tidak akan menangguh apa-apa tindakan. Mereka yang tidak dapat berdampingan dengan masa akan mengalami kerugian.


Masa boleh memerangkap kita
Manusia yang terperangkap dengan masa ialah manusia yang tidak dapat menghargai dan menggunakannya dengan sebijak mungkin. Bagi mereka yang lalai, tidak mempunyai sesuatu tujuan atau perancangan, maka segala kerja dan tindakan yang sepatutnya dipenuhi tidak akan berlaku. Dengan itu kehidupannya akan sentiasa tertekan, kerja tidak beres seolah-olah dirinya terbelenggu dan terperangkap dalam perjalanan masa.
Ciri-ciri yang ada pada jadual pengurusan masa strategik
Di antara ciri-ciri yang menjdaikan ia sebagai satu perancangan yang berkesan ialah:
– Ia mudah dirancang.
– Ia mudah disemak oleh ibu bapa.
– Perancangan ini mempunyai asas perancangan strategik iaitu menentukan matlamat dalam merangka apa yang hendak dibuat.
– Ia merupakan satu strategi kesedaran kendiri untuk melakukan sesuatu tindakan.
– Ia juga merupakan satu perjanjian terhadap diri sendiri kea rah melakukan sesuatu tindakan yang dirancang.


