Sisa-sisa sampah di negara ini nampaknya masih belum dikelola dengan baik dan menjadi lebih teruk semasa musim perayaan lebih-lebih pada Aidilfitri ini, apabila aktiviti rumah terbuka meningkatkan sisa sampah terutamanya sisa pepejal secara dramatik.
Ini termasuk sisa makanan, kemasan minuman dan makanan.
Saya ingin menekankan isu tempat pembuangan sampah yang penuh dengan longgokan sampah sarap yang tidak teratur, bukan sahaja menjengkelkan malah membahayakan kesihatan orang ramai yang sering membuang sampah ke tempat pembuangan tersebut.
Saya tidak pasti jika pihak berkuasa telah mengambil khidmat luar daripada syarikat swasta, tetapi jika benar ada pihak yang telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan sampah tersebut, ia dilakukan secara tidak menentu dan tidak teratur.
Justeru, ini menunjukkan bahawa tidak ada jadual tetap atau konsisten yang ditetapkan untuk membersihkan kawasan tong sampah tersebut, yang menyebabkannya bertimbun dan akhirnya melimpahkan sampah keluar dari tong sampah.
Pengurusan kebersihan dan pengumpulan sampah sarap di semua kawasan kediaman seharusnya dirancang berdasarkan jangkaan peningkatan orang awam di satu-satu kawasan menjelang musim perayaan. Ini termasuk strategi pengurusan sisa buangan yang boleh digunakan, pemantauan isu ini dan penelitian pengurusan sampah setiap zon kawasan untuk memastikan keseluruhan proses pengasingan, penyimpanan, pemungutan, pengangkutan, pemindahan, pemprosesan, rawatan dan akhir sekali pelupusan dijalankan dengan sistematik.
Selain itu, inisiatif sendiri dalam mempelajari ilmu dan kemahiran pengasingan dan pengurusan sisa di rumah perlu dibuat, khususnya dalam kalangan suri rumah. Malah, pengasingan sisa kitar semula perlu difahami untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal di kawasan perumahan.
Saya berharap pihak yang berwajib dapat menangani masalah penimbunan sampah ini dengan segera.
EkoPintar