Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengusaha halal perlu teroka sektor farmaseutikal

    JOHOR BAHRU, 4 JUN – Pengusaha halal tempatan diminta meneroka pasaran halal baharu selain sektor makanan dan minuman (F&B), khususnya produk farmaseutikal dan kosmetik bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana, ketika ini 87 peratus produk halal tempatan termasuk yang dieksport ke luar negara, adalah dalam sektor F&B.

    “Dalam lawatan saya ke beberapa negara, saya dapati pasaran halal terhadap farmaseutikal dan kosmetik ada permintaan tinggi, jadi saya harap kita bukan hanya menyediakan bahan mentah atau ramuan tetapi juga keluarkan produk akhir dengan jenama Malaysia.

    “Kita lakukan secara berperingkat dengan sasaran 50 peratus produk F&B dan 50 peratus bukan F&B dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Halal on Track@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

    Bagaimanapun beliau berkata perkara itu memerlukan perancangan rapi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama Islam negeri.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa setiap Komuniti MADANI di seluruh negara, mengambil peluang pasaran halal yang dijangka bernilai AS$5 trilion pada tahun 2030.

    “Peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada setiap Komuniti MADANI, boleh digunakan untuk mengeluarkan produk halal masing-masing bagi meningkatkan ekonomi penduduk desa,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat reruai pameran selepas merasmikan Program Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda