LABUAN – Dua pengusaha muda, Mohamad Rosli Ramani dan Nur Faiz Anuar, masing-masing berusia 25 tahun, mendapati keindahan pantai yang memutih, kejernihan lautan, pulau-pulau yang menakjubkan dan pemandangan yang mengagumkan di Labuan sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perniagaan mereka.
Menyedari potensi besar sektor pelancongan Labuan, Mohamad Rosli dari Kg Bebuloh Laut, dan Nur Faiz dari Kg Bukit Kuda di sini, menubuhkan sebuah syarikat pengembaraan eksklusif pada 2015 – SS Speed ??Boat Enterprise.
Kedua-dua pemuda bersemangat kental ini menggunakan wang sendiri sebagai modal perniagaan, selain keyakinan bahawa keindahan pulau yang terletak di Laut China Selatan itu akan terus memukau sekali gus menarik pelancong mengunjunginya.
Bagaimanapun, kisah mereka bukan sekadar untuk mencari wang semata-mata. Lebih daripada itu, kedua-dua ‘anak pulau’ ini berhasrat memajukan pelbagai potensi yang terdapat di sini dan membantu masyarakat tempatan. Ia juga bertujuan menjamin pembangunan pelancongan yang mesra alam.
Kedua-dua usahawan muda itu yakin aktiviti sukan air, perkhemahan, trekking, dan lawatan ke pulau-pulau yang mereka tawarkan boleh menjadi pelengkap kepada aktiviti penggiat industri hospitaliti lain di sini – pengendali inap desa, pemandu pelancong dan pengusaha hotel.
“Kami akan membawa masuk taman tema air mudah alih ke sini tidak lama lagi dan ia adalah yang pertama seumpamanya di Borneo. Kami percaya aktiviti sukan air ini akan menjadi produk tambahan bagi pelancongan di Labuan,” kata Rosli sambil menambah bahawa Sea Sport International Complex yang popular dengan pelbagai aktiviti hujung minggu dikenalpasti sebagai lokasi sesuai untuk taman tema air itu.
Mohamad Rosli dan Nur Faiz percaya lebih banyak aktiviti wajar disediakan untuk para pengunjung ke Labuan.
Usaha gigih
Percaya bahawa pandangan pertama setiap pelancong amat penting, kedua-dua pemuda itu berusaha gigih untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memenuhi kehendak para pengunjung selain menekankan aspek-aspek keindahan pulau??????, baik di daratan mahupun lautan.
Malah, jika berpeluang, mereka juga menggalakkan pengunjung agar melakukan aktiviti berasaskan pengembaraan.
Mereka membawa para pengunjung untuk melakukan pengembaraan mencabar melalui aktiviti bersnorkel serta meneroka keindahan pulau-pulau mempesonakan seperti Rusukan Kecil, Rusukan Besar, Kuraman dan Pulau Papan.
Pacu aktiviti pelancongan
Pengurus Pusat Pelancongan Malaysia (Pelancongan Malaysia) Nor Hidayah Mohd Nor berkata sumbangan kedua-dua pemuda itu akan membantu memacu aktiviti pelancongan pulau ini.
“Mereka memainkan peranan penting dalam membantu memastikan sektor pelancongan di Labuan tumbuh dengan mampan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata perniagaan berasaskan pelancongan adalah antara sektor yang paling pesat berkembang di pulau ini. Sektor itu membantu mewujudkan pekerjaan dan aktiviti perniagaan.
“Mereka adalah usahawan pelancongan yang memainkan peranan penting dalam membangunkan pelbagai perkhidmatan di sektor percutian dan rekreasi Labuan,” katanya.
Memenuhi harapan
Sekiranya testimoni para pelancong menjadi ukuran, Mohd Rosli dan Nur Faiz ternyata telah memenuhi janji-janji mereka untuk memberikan pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan oleh para pengunjung dan meningkatkan imej pulau itu yang bakal sebagai pusat pelancongan utama.
“Pengalaman bersama pasukan SS Speed ??Boat Enterprise sangat hebat kerana mereka sangat profesional dan cekap dalam menyediakan perkhidmatan. Saya sangat berpuas hati dengan cara mereka menguruskan pelancong. Saya harap dapat bersama-sama pasukan ini lagi,” kata seorang pengembara dari China, John Lee, 48.
“Bagi saya, ini adalah satu pengalaman yang luar biasa. Selain menikmati percutian, saya juga berkenalan dengan ramai kawan baharu. Secara peribadi saya menghargai apa yang mereka lakukan, terutamanya pelbagai inisiatif dan sumber yang disediakan.
“Pelbagai usaha yang dilakukan di pulau ini dan masyarakatnya adalah sangat mengagumkan,” kata rakannya, Monica Ann, 33 tahun.
Bagi Mohamad Rosli dan Nur Faiz, sumbangan mereka adalah satu perjalanan yang panjang dalam pembangunan sektor pelancongan Labuan. – Bernama