Wednesday, November 27, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengusaha muda mempertahan kuih tradisi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tak lapuk ditelan zaman, begitulah istimewanya Wajid atau Wajik Jawa yang merupakan salah satu produk makanan sejenis kuih yang diwarisi turun-temurun dari zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari ini yang sekali gus memberi simbol kulinari khas istimewa di Daerah Temburong.

    “Hadirnya saya sebagai salah seorang pengusaha di daerah ini sebegini bukan hanya untuk mencari rezeki pendapatan semata-mata bahkan adalah menjadi harapan saya untuk bersama-sama pengusaha lain dalam memartabatkan kuih tradisi Melayu ini di mata masyarakat tempatan dan juga para pelancong luar negara agar ia tidak pupus ditelan zaman,” itulah antara kata-kata penuh kesungguhan Dayang Ria Danawarti binti Umar selaku salah seorang pengusaha kuih tradisi Wajid Jawa di bawah Syarikat Azrialin Enterprise semasa ditemui di Tamu Aneka Temburong, Pekan Bangar, baru-baru ini.

    Pentingnya ketelitian dan kebersihan

    Insan yang berjiwa keusahawanan yang kini berusia 31 tahun yang menjalankan perniagaan di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ itu sejak tahun lepas menjelaskan bahawa adapun kuih tradisi berkenaan berasaskan bahan-bahan utama daripada adunan beras Jawa, gula pasir dan santan kelapa tua dan dimasak secara manual.

    Dimulakan dengan dimasak bahan santan kelapa terlebih dahulu sehingga kelihatan seakan-akan mengeluarkan minyak yang kebiasaannya mengambil masa selama tiga hingga empat jam atau lebih pada api yang sederhana. Kemudian dimasukkan pula gula pasir dan digaul rata sehingga berwarna coklat pekat.

    Dalam pada itu, pada periuk yang berasingan, beras Jawa yang telah dicuci bersih perlu dimasak terlebih dahulu, kemudian apabila kedua-dua bahan dari beras Jawa dan adunan santan dan gula pasir itu telah masak maka hendaklah digaul sebati sehingga menjadi melekit.

    Kesungguhan Dayang Ria selaku salah seorang pengusaha kuih tradisi Wajid Jawa jelas terserlah semasa ditemui di Tamu Aneka Temburong, Pekan Bangar, baru-baru ini.
    Dayang Ria semasa menjalankan proses pembungkusan kuih tradisi Melayu Wajid Jawa dengan menitikberatkan ketelitian dan kebersihan agar dapat menghasilkan kualiti kuih wajid yang baik dan tahan lama.
    Tak lapuk ditelan zaman, begitulah istimewanya Wajid atau Wajik Jawa yang merupakan salah satu produk makanan sejenis kuih yang diwarisi turun-temurun dari zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari ini yang sekali gus memberi simbol kulinari khas istimewa di Daerah Temburong.

    Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membungkus hasil adunan Wajid Jawa dan perisa-perisan lain ialah Daun Nyirik dan potongan kecil batang atau lidi asli dari kelapa sawit sebagai samat sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis.

    Manakala hasilnya pula dibungkus menggunakan daun Nyirik dan disamat dengan potongan kecil batang atau lidi asli dari kelapa sawit sehingga berbentuk empat segi memanjang seakan sama besarnya dengan jari manis.

    “Pastikan adunan yang telah siap dimasak itu sudah sejuk atau tidak dalam keadaan panas apabila dibungkus. Selain itu penggunaan bahan-bahan yang segar juga menjadi salah satu perkara yang amat penting untuk diterapkan dalam menghasilkan kuih tradisi ini memuaskan seperti kesegaran santan dari kelapa cukup matang.”

    “Namun apa yang mustahak juga ialah kebersihan bahan-bahan lain seperti daun Nyirik dan batang kecil atau lidi yang digunakan itu perlu dititikberatkan agar dapat menghasilkan kualiti kuih wajid yang baik dan tahan lama,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

    Variasi kuih tradisi wajid menjadi tarikan

    Menariknya, Dayang Ria bukan hanya mengetengahkan Wajid Jawa bahkan mempelbagaikannya dengan beberapa perisa lain seperti durian, ubi manis, ubi keladi dan labu.

    “Adalah menjadi kenangan manis yang tidak dilupakan apabila melihat kepuasan pada wajah para pengunjung yang rata-rata menyatakan keenakan rasa pada Wajid Jawa dan perisa-perisa lain yang dihasilkan. Sememangnya detik-detik ini bagaikan pencetus kekuatan dan semangat juang saya dalam meneruskan perjuangan dalam meniti dunia keusahawanan khususnya dalam kulinari tradisi warisan masyarakat Melayu ini,” ujarnya dengan senyuman manis.

    Terokailah dunia keusahawanan secara positif

    Meski dunia keusahawanan ini memiliki pasang surutnya, namun Dayang Ria yakin apabila kita sentiasa memiliki semangat berdikari yang teguh dalam mencari rezeki pendapatan yang halal dalam kehidupan seharian maka segalanya pasti akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

    “Jangan malu untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan meskipun bermula secara kecil-kecilan. Semailah prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’ tanpa berputus asa agar kita mampu meningkatkan prestasi perekonomian diri, keluarga dan juga negara, lebih-lebih lagi dalam kita menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan yang semakin sengit ini,” nasihat beliau yang berasal dari Kampung Selangan kepada masyarakat di negara ini khususnya para belia dan beliawanis semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda