Pengusaha sosial Australia kongsi pengalaman

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Dua usahawan sosial Australia yang terkenal, baru-baru ini, telah berkunjung ke Brunei Darussalam untuk berkongsi pengalaman mereka membangunkan perniagaan yang menangani masalah-masalah sosial, memperbaiki masyarakat atau menyokong alam sekitar.

Menerusi program yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, Pengasas Bersama Social Good Outpost, Elise Stephenson serta Pengasas Bersama The Content Division dan Pengasas Britt’s List, Brittanie Dreghorn telah mengendalikan satu siri bengkel mengenai perusahaan sosial dan fesyen mapan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei, perusahaan sosial menggunakan kuasa pasaran untuk menyelesaikan masalah-masalah sosial yang mendesak.

Ia merupakan perniagaan berdaya maju dari segi komersial yang wujud untuk memanfaatkan orang awam dan komuniti, berbanding pemilik dan pemegang saham.

Elise dan Brittanie telah memberikan tip dan nasihat kepada usahawan-usahawan sosial Brunei mengenai bagaimana mengembangkan perniagaan mereka, menjadikannya mapan dan mencapai impak lebih tinggi bagi komuniti.

Kenyataan menyatakan, mereka juga berkunjung ke sekolah-sekolah dan kolej tempatan untuk menjelaskan kepada pelajar mengenai kuasa dan potensi perusahaan sosial.

Sementara itu, fesyen mapan adalah mengenai mengurangkan bahan buangan dan mengurangkan impak negatif industri fesyen ke atas alam sekitar dan komuniti.

Semasa berada di Brunei, Elise dan Brittanie juga telah bertemu perwakilan daripada industri fesyen Brunei, kebanyakannya telah bergelut dengan cabaran-cabaran membangunkan jenama fesyen mapan.

Lawatan mereka adalah sebahagian daripada Siri Penceramah Usahawan dan Pemimpin Belia Kerajaan Australia yang direka untuk mengukuhkan hubungan perniagaan dan komuniti antara Australia dan negara-negara ASEAN.

Elise ketika menyampaikan taklimat.
Brittanie mengendalikan bengkel bagi fesyen mapan.