Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pengusaha tampil juadah unik semasa Ramadan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Meskipun Ramadan merupakan bulan di mana umat Islam berpuasa dan meningkatkan amal ibadah, ia tidak menghalang para pengusaha makanan untuk tampil dengan barangan jualan mereka yang berinovatif lagi bervariasi.

    Pelbagai produk jualan makanan boleh didapati di gerai-gerai Ramadan seluruh negara dan menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada para pelanggan khususnya bagi produk-produk baharu di mana ia memberikan pelanggan perasaan ingin mencuba apa tah lagi dengan penampilan dan gaya masakan yang unik.

    Semasa berkunjung ke Gerai Ramadan Belia Kawasan Letak Kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, beberapa pengusaha didapati berani menampilkan produk jualan yang lain daripada yang lain. Salah satu daripadanya ialah ayam tong yang dihasilkan Awang Jamali bin Haji Jaya Beliau mengongsikan bahawa ia adalah kali pertama beliau mengikuti jualan gerai di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah tersebut kerana sebelumnya beliau hanya berniaga di gerainya yang terletak di Kampung Lumapas.

    Buat julung kalinya, beliau memberanikan diri untuk memperkenalkan produk unik berupa ayam tong ke Gerai Ramadan Belia tersebut. Beliau mengemukakan idea menjual ayam tong pada tahun ini berikutan peningkatan harga barangan sate kambing yang dijualnya sebelum ini.

    Menerima cadangan daripada pelanggan tetapnya untuk menukarkan produk jualannya kepada ayam yang lebih mudah diperoleh dan murah, beliau kemudiannya keluar dengan idea untuk menggunakan sos perapan yang sama tetapi menggunakan ayam sebagai bahan utamanya.

    Ayam yang dimasak menggunakan tong.
    Awang Jamali semasa ditemu bual oleh media.
    Awang Amir Yussof ketika ditemui media.

    Pada mulanya beliau berfikir untuk menggunakan pasu bunga untuk dijadikan tempat membakar atau memasak ayam, namun kemudiannya mendapat ilham menggunakan tong daripada rakannya yang juga pernah memasak atau membakar ayam menggunakan tong.

    Maka tercetuslah masakan ayam tong seperti yang dijual pada hari ini.

    “Kelebihan ayam tong adalah meskipun kulit ayam agak kering di luar akibat proses penyalaian, namun bahagian isi di dalamnya masih juicy, puah dan tidak kering. Pelbagai maklum balas positif diterima daripada pelanggan terhadap produk jualan ini.

    “Alhamdulillah sebanyak 120 ekor ayam disediakan pada hari pertama jualan pada bulan Ramadan kali ini,” katanya.

    Menyentuh mengenai bekalan ayam, Awang Jamali berkata beliau mendapatkan bekalan ayam segar daripada Soon Lee dan Hua Ho yang sudah pasti tidak diragui kehalalannya selain memastikan tahap kualiti kebersihan ayam yang diperoleh dalam keadaan yang memuaskan bukan sahaja bagi dirinya sendiri tetapi yang paling penting bagi para pelanggannya.

    Usaha beliau haruslah dicontohi oleh lebih ramai pengusaha makanan di negara ini bagi menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti dan berinovasi pada masa akan datang.

    Sementara itu, makanan khas Melayu turut menjadi pilihan para pengunjung di gerai Ramadan setiap kali tibanya bulan suci ini. Salah seorang pengusaha makanan yang ditemui, Awang Amir Yussof ketika ditemui turut menjelaskan bahawa beliau pada setiap tahun akan menyertai Gerai Ramadan terutamanya di gerai Ramadan Belia Kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi mempromosikan jualannya iaitu aneka jenis laksa.

    Antara produk makanan yang paling laris dijual termasuk laksa Johor, laksa Penang dan laksa Kelantan. Pada hari pertama sahaja, beliau mengongsikan bahawa mereka menyediakan lebih kurang 300 pek laksa dan dijangkakan ia akan meningkat sehingga 500 pek pada minggu hadapan.

    Pada masa yang sama, mereka juga menjual produk laksa di Gerai Ramadan Kampung Bunut, berdekatan dengan Masjid Bunut.

    Adapun resipi produk tradisi yang dihasilkannya ini merupakan resipi asli dari negeri-negeri di Malaysia yang dipelajari sendiri dari tempat asalnya, maka tidak hairanlah produk jualannya kekal relevan dan sentiasa menjadi pilihan pelanggannya sejak mula berniaga lebih 13 tahun yang lalu.

    Beliau juga tidak menafikan bahawa kedatangan bulan Ramadan merupakan bonus tambahan bagi perniagaan yang diusahakannya disebabkan permintaan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai terhadap produk jualannya bagi juadah berbuka puasa.

    Selain itu, pada bulan Ramadan ini khususnya, beliau turut membukakan perkhidmatan menghantar sedekah ke masjid-masjid di mana sebahagian daripada pelanggannya bermurah hati untuk menyedekahkan belian produk di gerainya termasuk laksa untuk disedekahkan ke masjid-masjid yang tertentu.

    Sehubungan itu, beliau amat menyambut baik niat dan usaha murni para pelanggannya itu lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan di mana segala amalan dilipatgandakan ganjarannya.

    Apabila ditanya mengenai kenaikan harga bahan mentah yang digunakannya dalam penghasilan produk jualannya, beliau mengongsikan bahawa meskipun terdapatnya sedikit kenaikan harga, beliau tetap mengekalkan harga jualan barangannya dengan harga yang sama dulu hinggalah ke hari ini bagi sama-sama membantu para pelanggannya yang juga turut merasakan beban kenaikan harga barangan di negara ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...