Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengusaha ternak jutaan lipas, penuhi permintaan sejagat

    YIBIN, China – Tatkala petani Li Bingcai membuka pintu ladang lipasnya di barat daya China, seekor serangga sebesar saiz damak terbang ke wajahnya.

    Beliau kemudiannya mencampak serangan itu dari dahinya ke dalam bilik gelap, di mana terdapat kira-kira 10 juta serangga yang bergerak dengan pantas, ditempatkan di dalam rangka kayu yang terletak tinggi di atas sebuah rak.

    Haiwan berkaki enam itu mungkin menjadi sesuatu yang membimbangkan untuk kebanyakan orang, namun Li dan penternak lain di China cuba mengubah persepsi itu kepada bidang perniagaan.

    Ada di antara mereka menjual lipas untuk tujuan perubatan, sebagai makanan haiwan atau menghapus buangan makanan.

    Li menternaknya untuk tujuan lain iaitu untuk dimakan oleh manusia.

    Li Bingcai menuai lipas-lipas yang terdapat di ladangnya di Yibin. – AFP
    Tukang masak sedang menggoreng lipas di sebuah restoran di Yibin, wilayah barat daya Sichuan, China. – AFP
    Li Bingcai memperlihatkan lipas yang dikeringkan, yang mana digunakan sebagai ubat, di ladangnya di Yibin. – AFP
    Hidangan lipas yang terdapat di sebuah restoran di Yibin, wilayah barat daya Sichuan, China. – AFP
    Li Bingcai memegang eksuvia lipas di ladangnya di Yibin. – AFP
    Li Bingcai bersiap-sedia menangkap lipas untuk diberikan kepada ayam-ayamnya yang berada di ladang lipasnya di Yibin. – AFP
    Lipas-lipas memakan makanan yang diberikan di ladang lipas di Yibin. – AFP
    Li Bingcai menunjukkan serbuk lipas, yang digunakan sebagai ubat, di ladangnya di Yibin. – AFP

    Li Bingcai ketika memberi makanan berupa lipas kepada beberapa ekor ayam di ladangnya di Yibin. – AFP
    Lipas-lipas yang terdapat di ladang lipas di Yibin. – AFP

    Sebuah restoran di hujung jalan, tidak jauh dari kedai kecilnya, sedang menggoreng lipas dengan sos pedas Sichuan yang terkenal untuk pemakan yang lebih berani.

    “Orang tidak percaya betapa sedapnya sehingga mereka mencubanya,” beritahu Li kepada AFP sambil meletakkan salah seekor serangga ke dalam mulutnya.

    Dikenali oleh penduduk tempatan sebagai lipas Amerika, Periplaneta Americana ialah salah satu spesies terbesar dan dimakan untuk pelbagai jenis penyakit: ulser perut dan masalah saluran pernafasan malah sebagai tonik.

    “Kesan paling besar lipas adalah ia mempunyai imuniti yang tinggi, yang merupakan sebab kenapa manusia akan menyerap faedahnya selepas memakannya,” kata Li, yang mendapati di China, lipas digelar ‘Little Strong’ disebabkan ia boleh hidup selama beberapa hari walaupun selepas dipotong kepada separuh.

    Terletak di pinggir gunung yang dilitupi oleh buluh di Yibin, kedai Li ialah bekas rumah ladang satu tingkat yang dikelilingi oleh ladang tanaman dan ladang haiwan ternakan.

    Kawasan pembiakan adalah kira-kira saiz sebuah gelanggang badminton, dengan tingkap ditutup dengan jaring untuk menghalang mana-mana lipas daripada terlepas.

    Keselamatan adalah amat penting: Pada tahun 2013, kira-kira satu juta lipas yang terlepas daripada sebuah ladang di timur wilayah Jiangsu merayau-rayau bebas setelah rumah hijau mereka dimusnahkan.

    Lipas Li hidup di antara ruang rangka kayu berbentuk empat segi yang dicantumkan bersama paip dan disimpan di rak yang mendereti dua bilik. Tempat tersebut dibiarkan panas dan lembap, sekali gus meninggalkan bau yang menyerupai pakaian basah.

    Masa memberi makan kepada lipas mencetuskan keadaan kelam-kabut tatkala Li melonggokkan jagung yang dikisar, kulit buah-buahan dan sayur di dulang kecil, di mana serangga berkenaan akan mengerumuni pelantar serta merta dan merayap di atas satu sama lain.

    “Kami membiaknya dalam persekitaran bersih. Ia memakan makanan yang betul, tidak ada apa-apa yang sintetik,” kata beliau.

    Setiap tiga bulan, Li menangkap lipas tersebut untuk mengawal jumlahnya dengan meletakkan sejumlah lipas ke dalam tong yang berisi air mendidih sebelum menyahhidratkan bangkai lipas.

    Pada tahun lalu, beliau menjual satu tan lipas kering kepada sebuah kilang farmaseutikal dengan harga berjumlah hampir 90,000 yuan (AS$13,500).

    Li mengendali sebuah kedai telefon bimbit apabila beliau menceburi diri dalam penternakan lipas pada tahun 2016 disebabkan ia merupakan perniagaan kos rendah dan serangga adalah senang untuk dipelihara. Beliau kemudian menukar rumah ladangnya dan membeli telur daripada penternak lain.

    Sumber pendapatan utamanya adalah daripada menjual serangga secara langsung ke ladang atau kilang ubat. Penjualan itu juga turut dilakukan secara dalam talian di sebuah kedai Internet milik anak perempuannya. Setengah kilo serangga kering dijual dengan harga di antara 100 dan 600 yuan (AS$15 hingga AS$90).

    Di negeri jiran Xichang, Gooddoctor Pharmaceutical Group mengendali ladang lipas terbesar di dunia, di mana sejumlah enam bilion serangga yang diternak dalam sebuah bangunan yang menggunakan kecerdasan buatan dalam mengawasi atau memantau pergerakan dan keadaan alam sekitar.

    Pada abad ke-16, spesies lipas dimasukan dalam kaedah perubatan seperti yang dinyatakan dalam buku Compendium od Materia Medica, sebuah buku perubatan paling komprehensif yang pernah ditulis mengenai ubat tradisional China.

    Serangga itu mempunyai khasiat untuk membuang toksin dan boleh berfungsi sebagai diuretik, kata Liu Daoyuan, ketua pakar di Pusat Perubatan Yongshou di Bandar Yinchuan.

    “Ia juga berkesan untuk melegakan sakit kerongkong, tonsillitis, sirosis hati dan pertambahan bendalir,” tambah beliau.

    Namun pakar perubatan China lainnya mengingatkan bahawa industri yang tidak dikawal ketat dengan halangan kemasukan yang rendah boleh mengakibat kesan negatif.

    “Apa-apa yang berlebihan boleh mendatangkan kemudaratan, malah ginseng,” kata Goh Chye Tee, pengarah Klinik Perubatan China di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura.

    Beliau mendapati serangga tersebut tidak tersenarai sebagai ubat rasmi China yang merangkumi ubat China dan barat.

    Namun Li lebih berminat dalam menukar lipas kepada makanan istimewa dan sedang bekerjasama dengan sebuah restoran tempatan.

    Pelanggan telah beria-ia untuk merasanya selepas mendengar mengenai khasiat kesihatan masakan berkenaan, kata pemilik Fu Youqiang, yang memasak sehingga 30 pesanan sebulan.

    Pengunjung restoran, Luo Gaoyi, yang mencuba memakan serangga itu untuk kali pertama, menggambarkannya sebagai ‘agak sedap, amat harum, amat rangup.’

    “Saya fikir apa-apa yang bagus untuk kesihatan harus dimakan, tidak kira apa benda itu,” kata beliau. “Ia mempunyai nilai nutrisi yang tinggi dan amat tinggi dalam protein.”

    Li juga sedang berusaha untuk mengembangkan khasiatnya dalam krim ubat yang dibubuh lipas, pelekat ubat lipas dan lapik dalam kasut yang mengandungi esen lipas.

    Beliau berkata: “Terdapat banyak kebaikan dalam serangga ini. Saya mahu memberitahu lebih ramai orang mengenainya. Ramai orang fikir ia adalah haiwan perosak tetapi bagi saya, ia adalah emas. Lipas-lipas ini seperti anak saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda