BANGKOK, 2 MEI – Seorang ahli perniagaan Thai yang kaya raya dipenjara selama 24 tahun selepas didapati bersalah mengembangkan resort golf mewahnya ke dalam kawasan rizab alam semula jadi, lapor media tempatan.
Pendakwa raya antirasuah memfailkan kes pada 2021, menuduh jutawan logam Prayudh Mahagitsiri bersekongkol dengan pegawai untuk mendapatkan geran tanah bagi meluaskan Resort Golf dan Residences Mountain Creek miliknya.
Resort 900 ekar yang mempunyai 27 lubang golf di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut Bangkok, memasarkan dirinya sebagai “multipleks deria bagi mereka yang mempunyai keinginan yang tinggi”.

Namun, pihak berkuasa mendakwa bahawa 74 ekar tambahan yang dimasukkan ke dalam pembangunan tersebut terletak dalam kawasan yang dilindungi oleh undang-undang pemuliharaan alam sekitar.
Mahkamah Jenayah Pusat bagi Rasuah dan Salah Laku kelmarin mendapati Prayudh, 79 tahun, bersalah atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan pencerobohan tanah, lapor media tempatan.
Dia dijatuhi hukuman penjara 24 tahun bersama 10 defendan lain, termasuk anak perempuannya yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Prayudh sedang memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, menurut laporan media.
Dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.6 bilion, Prayudh menduduki tempat ke-10 dalam senarai individu terkaya Thailand pada 2024, menurut Forbes, dengan kepentingan perniagaan dalam sektor keluli dan kopi.
Golf merupakan daya tarikan pelancongan utama di Thailand, terutamanya di kalangan peminat dari Eropah, Jepun dan Korea Selatan. Walau bagaimanapun, sukan itu sering dikritik oleh aktivis alam sekitar kerana mengubah kawasan hutan belantara menjadi padang rumput yang memerlukan penggunaan air secara intensif. – AFP