Wednesday, April 16, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peniaga berlian India ditahan berhubung kes penipuan bank

    MUMBAI, 15 APRIL – Peniaga berlian India, Mehul Choksi telah ditahan di Belgium, menurut peguamnya kelmarin, berhubung kes penipuan bank.

    Choksi dan anak saudaranya, Nirav Modi, telah melarikan diri dari India pada tahun 2018 selepas didakwa menjadi dalang utama dalam skandal penipuan bernilai AS$1.8 bilion melibatkan Punjab National Bank (PNB), bank milik kerajaan kedua terbesar di negara itu.

    Kes ini merupakan antara beberapa skandal kewangan yang pernah mencetuskan kemarahan awam di India, salah satu ekonomi utama yang berkembang paling pesat di dunia.

    “Anak guam saya telah ditahan pada Sabtu dan kini berada dalam tahanan penjara,” kata peguamnya, Vijay Aggarwal kepada wartawan, sambil menambah mereka akan mengemukakan rayuan untuk pembebasan atas alasan Choksi tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan berada dalam keadaan kesihatan yang tidak stabil.

    Penahanan itu dilakukan susulan permohonan ekstradisi oleh kerajaan India berdasarkan dua waran tangkap tanpa jaminan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah di Mumbai pada tahun 2018 dan 2021, menurut laporan media tempatan.

    Ketika ditanya mengenai permohonan ekstradisi tersebut, Aggarwal berkata pihaknya akan berhujah mengatakan kes ini bermotifkan politik dan akan membela Choksi dengan alasan keadaan di penjara India tidak berperikemanusiaan.

    Sementara itu, Nirav Modi menjadi terkenal sebagai tukang emas disebabkan pelanggan selebriti di Hollywood dan industri filem bahasa Hindi India di Bollywood. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda