Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 24 OGOS – Seorang ahli peniagaan tempatan, Lau Shiew Choi, yang menjalankan peniagaan keluarga selama hampir 50 tahun, meluahkan rasa bingung apabila kedai miliknya dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali, baru-baru ini.
“Selama hampir 50 tahun menjalankan peniagaan, kami tidak pernah mengalami kejadian seperti ini,” Lau menjelaskan kepada pihak media semasa ditemu bual.
Beliau menceritakan bahawa dia menyedari kejadian itu melalui mesej yang dihantar kepadanya daripada rakan-rakannya mengenai cat merah yang disembur pada pagar hadapan kedai dan keretanya, kedua-dua perbuatan itu berjaya dirakam oleh CCTV.
“Kira-kira pukul 8 pagi, saya menerima mesej daripada rakan-rakan saya yang memaklumkan mengenai cat tersebut. Ketika saya memeriksa CCTV, saya dapati perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3 pagi oleh pelaku yang memakai pelitup muka dan berhud,” jelasnya.
Beliau juga telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut ke balai polis berdekatan pada pagi yang sama dan pada masa ini siasatan sedang dijalankan.


Meskipun bahagian hadapan kedai tidak rosak teruk, namun dia dan keluarga merasa sedikit tidak selesa kerana maklumat salah yang disebarkan melalui media sosial.
“Banyak maklumat salah yang dimuat naik di media sosial, dan ini menyebabkan ramai kawan dan keluarga menjadi risau kerana saya tidak sempat membalas pesanan teks mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan meminta maaf kepada mereka yang cuba menghubungi saya dan mereka yang risau terhadap keselamatan saya dan keluarga selepas kejadian itu,” kongsinya.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan punca kejadian, dia berkata, “Setahu saya, kami tidak mempunyai sebarang persengketaan dengan sesiapa atau berdendam terhadap kami tetapi kami tidak dapat menafikan mereka yang merasa marah kerana sukar untuk menilai seseorang melalui paras rupa.”
Beliau berharap kejadian ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya tahu Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang aman dan saya percaya sistem kehakiman dan pihak berkuasa akan dapat membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” tambahnya.

