Saturday, April 26, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peniaga dalam talian rugi lebih RM70,000 jadi mangsa pelaburan tidak wujud

    KUANTAN, 15 JAN – Seorang peniaga dalam talian mendakwa kerugian RM70,822 selepas menyertai pelaburan tidak wujud yang diketahuinya menerusi aplikasi WhatsApp, minggu lepas.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 38 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp itu pada 10 Januari lepas, kononnya melibatkan pelaburan berkaitan bitcoin.

    “Mangsa mendakwa tertarik dengan tawaran itu kerana menawarkan pulangan lumayan menyebabkan dia mengeluarkan wang simpanan dan menghubungi suspek, yang mengarahkannya membuat 25 transaksi pemindahan wang dalam talian ke tujuh akaun bagi tujuan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan menyebabkan dia membuat laporan di balai polis di Cameron Highlands semalam.

    Beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dan tidak terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat selain menyemak nombor akaun dan nombor telefon sebelum membuat transaksi. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda