Peniaga di Thailand lega boleh berniaga semula

BANGKOK, 4 MEI – Mulai minggu ini, aktiviti di Thailand kembali dengan kehidupan normal baharu, selepas kerajaan membenarkan beberapa jenis perniagaan dan kawasan dibuka semula.

Pemilik gerai mi terletak di jalan Sukhumvit, Nattaporn Khongsuan dan pekerjanya menyusun meja dan kerusi dengan jarak 1.5 meter antara satu sama lain, selaras dengan peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan.

“Lama saya tunggu saat ini…tak sabar nak lihat pelanggan datang menjamu selera dalam suasana yang sedikit berbeza,” kata peniaga berusia 45 tahun itu kepada Bernama.

Enam jenis perniagaan termasuk gerai makanan jalanan, kedai dan restoran di luar pusat beli-belah dibenarkan beroperasi semula mulai 3 Mei, sejak pihak berkuasa menutup perkhidmatan itu pada akhir Mac untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Bagi memastikan tidak berlaku gelombang kedua pandemik, pihak berkuasa menetapkan garis panduan dan langkah-langkah keselamatan, yang perlu dipatuhi. – Bernama

Seorang wanita memeriksa suhu badan seorang pelanggan, sebagai langkah pencegahan ke atas penularan COVID-19, di salon rambut di Bangkok pada 4 Mei. – AFP