MELAKA, 23 APRIL – Seorang peniaga lemang ditahan bagi membantu siasatan memukul seorang lelaki warga emas yang mendakwa lemang dibelinya mentah dalam kejadian di sebuah gerai di Jalan Bukit Beruang Utama, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira 8 malam itu menyebabkan mangsa iaitu pesara tentera berusia 61 tahun luka di bahagian telinga kiri dan tangan kanan kerana terkena serpihan buluh lemang yang dibelah dan dirawat di Hospital Melaka.
Beliau berkata, sebelum kejadian, warga emas itu datang ke gerai berkenaan untuk menukar lemang yang dibeli pada sebelah pagi kerana didapati masih mentah.
“Sebaik tiba di gerai berkenaan, mangsa mendakwa telah menunjukkan lemang yang beli di dalam bekas plastik kepada peniaga lemang iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun tetapi peniaga itu tidak mahu melihatnya.
“Peniaga tersebut kemudian membelah satu daripada lemang yang dibeli mangsa dan menunjukkan lemang tersebut masak sepenuhnya sebelum berlaku pergaduhan mulut antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, peniaga berkenaan dikatakan bertindak memukul mangsa dengan buluh lemang di bahagian telinga kiri dan terkena pada tangan kanan sebelum mangsa beredar meninggalkan gerai.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana peniaga itu mendakwa mangsa mencampak lemang yang dikatakan tidak masak dalam bekas plastik kepadanya dan menularkannya menerusi video agar orang ramai tidak datang ke gerai tersebut. – Bernama


