Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Umat Islam dituntut untuk mencari rezeki halal bagi memenuhi keperluan hidup seharian sama ada untuk diri sendiri atau orang yang berada di bawah tanggungan.
Antara cara untuk memperoleh rezeki yang halal adalah melalui berniaga, ujar khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bersikap Jujur dan Amanah dalam Berniaga’.
Khatib menekankan seseorang peniaga itu mesti mempunyai sikap jujur dan amanah dalam mengendalikan perniagaan. Rasulullah SAW ada menjelaskan dalam hadisnya bahawa peniaga yang jujur dan amanah telah dijanjikan untuk mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia di akhirat.
Peniaga yang jujur dan amanah itu memang layak untuk mendapat ganjaran yang sedemikian, jelas khatib, ini kerana dalam dunia perniagaan seorang peniaga itu akan menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan seperti cenderung untuk bersifat tamak bagi mendapat keuntungan yang lebih banyak walaupun melalui jalan yang salah seperti melakukan penipuan dan berbuat khianat.
Sehubungan dengan itu, khatib menasihatkan agar peniaga supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menjalankan perniagaan agar tidak terjerumus untuk melakukan perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan undang-undang negara seperti menjual barang yang haram dan ditegah seperti arak, barang curi, barang yang diseludup dan seumpamanya.
Selain itu, khatib turut mengingatkan para peniaga supaya menjalankan perniagaan dengan cara yang diredai oleh Allah SWT dan menghindari melakukan perbuatan yang dalam hanya semata-mata untuk mengejar keuntungan, kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap perbuatan hamba-hambaNya termasuk dalam urusan jual beli.
“Agama Islam juga telah mengharamkan segala bentuk penipuan, sama ada dalam urusan niaga, muamalat atau urusan sesama manusia. Akan tetapi masih terdapat segelintir masyarakat yang tergamak memperdaya dan mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah dalam urusan perniagaan semata-mata untuk mengaut keuntungan,” tegasnya.
“Antara contoh menjual barang yang telah rosak adalah seperti menjual barang yang telah mansuh tarikh luputnya, mengurangkan timbangan dan sukatan selain mencampurkan bahan basah seperti ikan, ketam dan udang segar dengan yang kurang segar.
“Selain itu, menjual ikan dengan memperlihatkan jenis ikan yang besar dan segar di bahagian atas, sedangkan di bawahnya disimpan ikan-ikan kecil atau tidak segar, mencampurkan daging dan ayam yang diragui kehalalannya dan tidak diketahui sumbernya dan seumpamanya,” menurut khatib.
Menurut khatib, dalam perniagaan tidak dinafikan semua peniaga inginkan keuntungan tetapi dalam mencari keuntungan, peniaga diwajibkan untuk menitikberatkan sikap jujur dan amanah.
Perlu diketahui, jelas khatib bahawa seorang peniaga itu tidak boleh menyembunyikan sebarang kekurangan atau kerosakan yang ada pada barang jualan kerana jika ia disembunyikan maka ia boleh dianggap sebagai satu penipuan kepada pembeli.