BACHOK – Ingin berkongsi rezeki selain memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba keenakan nasi ayam membuatkan seorang peniaga di Kampung Bukit Marak di sini, menawarkan hidangan itu dengan harga paling murah iaitu RM1.90 sahaja.
Wan Roslina Roslan, 43, berkata harga rendah itu ditawarkan kerana prihatin dengan nasib penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta tidak mahu membebankan pelanggan jika hidangan berkenaan dijual pada harga lebih tinggi.
Yakin pada ungkapan ‘rezeki tidak pernah salah alamat’, Wan Roslina yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran mengambil inisiatif berniaga nasi ayam itu di hadapan rumahnya, selepas hilang punca pendapatan disebabkan pandemik COVID-19.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Bukit Marak. Bagaimanapun, sejak tahun lepas saya mula hilang punca pendapatan selepas restoran milik majikan saya terpaksa gulung tikar.
“Enggan meneruskan hidup tanpa sebarang pendapatan saya mula mengambil inisiatif berniaga nasi ayam yang lengkap termasuk hirisan timun, tomato dan juga salad dengan hanya berharga RM1.90 sejak Oktober tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di sini.
Bercerita lanjut, ibu kepada empat orang anak itu berkata hampir setiap hari suaminya Seli @ Rosli Salleh, 45, membantunya mendapatkan bekalan ayam mentah sekitar 15 ekor sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan di kedainya.
Wan Roslina mengakui turut terkesan apabila harga ayam mentah naik secara mendadak sejak sebulan lepas hingga mencecah RM10 sekilogram.
“Jika diikutkan, modal yang diperuntukkan untuk ayam mentah sahaja sudah banyak, namun saya percaya kepada rezeki Allah, walaupun hanya memperoleh keuntungan sedikit namun sekurang-kurangnya berpuas hati kerana niat berniaga sambil bersedekah,” katanya yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat.
Menurutnya, hidangan nasi ayamnya itu turut mendapat perhatian pelanggan di luar Kelantan, termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu untuk menempah bagi infak kepada asnaf di sekitar negeri ini.
Katanya, nasi ayam itu juga tular di media sosial Tiktok selepas dimuat naik oleh anak sulungnya Mohd Rais Afhan, 20, hingga meraih hampir 500,000 tontonan.
“Selepas tular, tempahan nasi ayam saya juga bertambah selain ada juga pelanggan saya menempah secara dalam talian yang meminta saya mengagihkan nasi ayam berkenaan kepada rumah anak yatim dan juga asnaf.
“Pelanggan mempunyai dua pilihan hidangan nasi ayam iaitu nasi ayam biasa yang dijual pada harga RM1.90, dan nasi ayam ‘special’ (istimewa) iaitu nasi dengan potongan ayam lebih berharga RM3.50. Namun, kebiasaannya untuk berinfaq saya akan mencadangkan supaya mengambil yang ‘special’,” katanya.
Seorang pelanggan Mohd Ikhwan Danial Afrizal, 23, dari Kampung Pauh Lima berkata walaupun nasi ayam dijual oleh Wan Roslina pada harga murah namun kualiti dan rasa hidangan itu ibarat setaraf nasi ayam yang biasa dijual pada harga RM5 hingga RM7 di kedai-kedai lain.
“Setakat ini saya tidak pernah jumpa peniaga yang mampu menawarkan hidangan nasi ayam lengkap termasuk sup, kicap, sambal dan sebagainya dengan harga sebegini. Sekurang-kurangnya dengan hidangan ini pelanggan tidak berkemampuan mampu menikmati nasi ayam yang sedap,” katanya. – Bernama