BAITULMAQDIS, 22 Mei – Seorang ahli perniagaan Palestin yang melanggar pantang larang politik dengan bekerja dengan peneroka Israel di Tebing Barat mungkin memegang satu peranan tidak lama lagi dalam pelan perdamaian Presiden Donald Trump.
Sementara pegawai Palestin menolak persidangan Timur Tengah yang dirancang diadakan di Bahrain pada bulan depan, Ashraf Jabari berkata beliau berasa gembira untuk hadir.
Jabari telah menjalin hubungan yang erat dengan diplomat AS tetapi dipandang dengan penuh sangsi oleh rakan Palestin.
Ia telah menimbulkan persoalan mengenai usaha AS untuk memupuk persabahatan dengan beliau dan ahli perniagaan lain sebagai alternatif kepada Pihak Berkuasa Palestin.
AS masih belum mengeluarkan senarai hadirin pada persidangan 25-26 Jun, yang berusaha menggunakan pembangunan ekonomi untuk menarik Palestin ke meja rundingan.

Pegawai AS telah berkata ia akan mengumpulkan pemimpin perniagaan individu, termasuk beberapa warga Palestin yang tinggal di luar wilayah Palestin.
“Pelan ekonomi kami adalah wawasan yang bercita-cita tinggi namun dapat dicapai; ia mengemukakan satu jalan alternatif yang berpotensi membuka masa depan yang makmur untuk penduduk Palestin jika mereka memilih untuk mengikutinya,” kata Jason Greenblatt, duta Trump di Timur Tengah.
Pihak Berkuasa Palestin berkata mana-mana pelan yang menumpu pada pembangunan ekonomi dengan menjejaskan aspirasi politik rakyat tidak dapat diterima. Ahli perniagaan Palestin terkenal Bashar Masri, misalnya, telah menolak jemputan tersebut, berjanji tidak akan menghadiri apa-apa yang bertentangan dengan ‘kepentingan negara Palestin’.
Palestin berusaha mendapatkan kemerdekaan di wilayah yang ditawan oleh Israel dalam perang Timur Tengah 1967, termasuk Tebing Barat dan timur BaitulMaqdis, dan komuniti antarabangsa sebulat suara masih menyokong penyelesaian dua negara.
Namun Jabari berkata sudah tiba masanya untuk memikirnya secara berlainan, merujuk kepada kegagalan rundingan selama suku abad.
“Tidak ada perdana menteri Israel yang akan memenuhi permintaan Palestin dan sebaliknya,” beritahu Jabari kepada The Associated Press. “Kami tidak dapat menunggu penubuhan sebuah negara. Kami perlu memikirkan isu ini sebagai satu entiti, bukan dua entiti dan dua realiti.” – AFP