PERSAINGAN merupakan proses dalam ekonomi antara pemain pasaran untuk menarik pelanggan. Pemain pasaran ini adalah seperti syarikat multinasional, firma tempatan, pemborong dan peruncit yang menjual barang dan perkhidmatan.
Situasi persaingan juga boleh dipengaruhi oleh daya saing pasaran, yang bukan sahaja wujud antara pemain yang sedia ada, malah juga datang daripada pemain baharu yang berminat untuk bersaing dalam pasaran.
Hakikatnya, seseorang peniaga tidak boleh hanya mementingkan kepentingan dirinya sahaja. Seseorang peniaga harus prihatin kepada kepentingan orang lain misalnya pekerja, pembekal, pembeli dan sebagainya. Hubungan yang tidak baik akan membawa masalah kepadanya. Setiap pihak yang terbabit memainkan peranan dalam memelihara kestabilan dan kemajuan perniagaan. Justeru etika adalah penting dalam aspek perniagaan.
Seseorang peniaga juga mestilah mempunyai tanggungjawab terhadap semua pihak bagi sebarang urusan yang hendak dijalankan. Kejujuran dan ketulusan hati adalah satu daripada nilai asas manusia. Jadi, peniaga tidak patut dan tidak harus menyembunyikan sebarang perkara yang melibatkan hak kepentingan bagi pihak yang berurusan dengannya.
Sebagai seorang peniaga, mereka bertanggungjawab untuk memberitahu dengan jelas kuantiti, kualiti dan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dijual kepada pengguna atau pembeli-pembelinya. Peniaga tidak boleh menipu kerana perbuatan yang buruk itu akan menyusahkannya, malah akan memberi kesan kepada imejnya dan juga berkemungkinan akan menjejaskan perniagaannya.

Selain itu, seseorang peniaga juga perlu mengamalkan sikap adil dan saksama semasa menjalankan sebarang urusan. Peniaga tidak boleh mengamalkan sikap berat sebelah dalam semua tindakan yang diambil olehnya. Misalnya, harga kepada semua pembeli mesti sama tidak kira saudara atau kawan. Seseorang peniaga yang mengamalkan penetapan harga yang berbeza kepada pembeli yang berlainan adalah suatu tindakan yang telah menyalahi etika perniagaan.
Cuba bayangkan, jika tindakan peniaga tersebut diketahui oleh salah seorang pembeli, apakah tindakan yang akan dilakukan oleh pembeli tersebut? Pembeli tersebut mungkin akan memberitahu perkara tersebut kepada orang-orang di sekelilingnya. Tindakan ini akan menyebabkan imej peniaga tersebut terjejas dan jika keadaan ini berterusan, maka ia akan mengakibatkan perniagaannya mengalami kerugian. Kuantiti dan kualiti barangan atau perkhidmatan untuk pembeli juga mestilah betul dan baik.
Perbezaan bentuk persaingan di pasaran
Pasaran ialah mekanisme pertukaran yang menemukan penjual dan pengguna pada sebarang perkhidmatan atau komoditi. Ia adalah transaksi yang mudah, iaitu pengguna bersetuju untuk membayar harga barang yang telah dibeli daripada penjual.
Perbezaan bentuk persaingan di pasaran boleh dikelaskan bergantung kepada ciri-ciri struktur pasaran seperti bilangan penjual dan pengguna, jenis barang yang dihasilkan, halangan kemasukan contohnya firma baharu tidak dapat memasuki pasaran dan sebagainya. Terdapat beberapa bentuk persaingan dalam pasaran dan yang berkaitan dengannya iaitu:
1. Persaingan sempurna
Persaingan sempurna berlaku apabila wujud jumlah penjual yang sangat ramai, menghasilkan produk yang serupa dan menyebabkan harga bagi produk tersebut adalah sama. Keunikan harga terhasil daripada bentuk persaingan ini. Firma adalah penerima harga, bukan penentu harga dan boleh menjual produk dengan sebarang kuantiti yang mereka kehendaki pada harga pasaran yang telah sedia ada.
Pengusaha individu yang mempunyai pengeluaran yang sangat kecil di pasaran tidak dapat mempengaruhi pasaran. Tahap persaingan (harga atau bukan harga) adalah sangat rendah dan boleh dikatakan persaingan hampir-hampir tiada. Di samping itu, akaun masuk dan keluar menjadi semakin bebas dan mudah dalam pasaran. Firma hanya membuat untung normal bagi jangka panjang (contohnya pulangan normal bagi modal yang telah digunakan dibandingkan dengan yang telah diperolehi bagi menyesuaikan dengan risiko pasaran dan tambahan bonus bagi risiko yang telah diambil pengusaha).
Persaingan sempurna adalah situasi yang ideal tetapi tidak wujud dalam pasaran. Paling hampir dengan persaingan sempurna boleh dilihat dalam pasaran sayuran. Hampir setiap tempat di dunia ini mempunyai pasaran sayuran, malah dengan bilangan pengguna dan penjual yang besar. Pengguna mempunyai banyak maklumat dan tiada penjual persendirian boleh mempengaruhi pasaran ini.
2. Persaingan monopoli
Persaingan monopoli berlaku apabila penjual individu, pengguna yang ramai, tiada pengganti keluaran yang terdekat dan sekatan kemasukan yang tinggi. Dalam bentuk pasaran ini, pemonopoli (contohnya penjual tunggal) adalah penentu harga dan keluaran. Pemonopoli boleh menetapkan harga dan boleh membenarkan permintaan untuk menentukan pengeluaran atau boleh menentukan pengeluaran dan membenarkan permintaan untuk menentukan harga. Mereka mungkin pengganti wajar yang memadai tetapi bukan pengganti terdekat.
Sebagai contoh, perkhidmatan pengangkutan (individu dan awam), penerbangan dan sebagainya adalah pengganti wajar yang memadai untuk kereta api, tetapi bukan pengganti terdekat. Kerana ketiadaan pengganti terdekat ini, persaingan tidak wujud dalam sektor perkhidmatan kereta api.
3. Persaingan monopolistik
Persaingan monopolistik berlaku apabila bilangan yang besar bagi penjual dan pengguna, kewujudan produk pengganti terdekat dan tiada sekatan kemasukan. Kewujudan bilangan penjual dan pengguna yang besar menunjukkan bentuk persaingan ini menyerupai persaingan sempurna. Kewujudan bilangan penjual dan pengguna yang besar tidak bererti hanya satu harga yang menguasai pasaran. Beberapa harga wujud dalam bentuk pasaran ini. Setiap firma bebas menetapkan harga bagi setiap barang yang dijual kerana terdapat perbezaan. Firma tidak terikat dengan persaingan harga dalam bentuk pasaran ini kerana kesan permintaan produk bagi firma yang menawarkan harga yang murah adalah sedikit sahaja. Mereka terikat dengan persaingan bukan harga, seperti keunikan produk, untuk menarik lebih ramai pelanggan, bukan sebagai balasan terhadap keputusan yang dibuat oleh firma lain.
Di kebanyakan negara di dunia, pasaran barangan pelanggan yang bergerak pantas seperti sabun, ubat gigi dan kelengkapan kebersihan diri yang lain, merupakan contoh persaingan monopolistik.
4. Persaingan oligopolistik
Persaingan oligopolistik berlaku apabila bilangan penjual sangat sedikit, bilangan pengguna lebih ramai, lebih banyak produk berjenama dan sekatan kemasukan yang tinggi. Jumlah penjual adalah sangat sedikit dan sedar mereka perlu saling bergantung antara satu sama lain (dalam bentuk harga, produk atau promosi). Mereka mengambil kira kemungkinan reaksi pesaing sewaktu mereka merancang strategi.
Firma, dalam bentuk pasaran ini, cenderung untuk menghasilkan barangan berjenama dalam kuantiti yang banyak untuk mempelbagaikan pengeluaran produk dan yang bersaing dalam terma bukan harga (seperti kesetiaan terhadap jenama) dan menguatkannya dengan bajet pengiklanan yang tinggi.
Bentuk persaingan yang memberi manfaat kepada pengguna
Persaingan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu persaingan harga dan persaingan bukan harga. Persaingan harga merupakan bentuk persaingan di antara pembekal untuk memenangi hati pelanggan dengan cara menawarkan produk pada harga yang lebih rendah daripada harga pesaing, iaitu menurunkan harga barang dengan mengharapkan dapat meningkatkan pasaran.
Tetapi strategi ini tidak berkesan terhadap pelanggan yang setia kepada mana-mana jenama atau label dan tidak menghiraukan soal harga.
Manakala persaingan bukan harga adalah di antara pembekal bagi membolehkan mereka cuba untuk memenangi hati pelanggan bukan dengan cara menurunkan harga barang, tetapi melalui pengiklanan, menawarkan khidmat selepas jualan, menggunakan promosi jualan dan sebagainya.
Manakala persaingan yang sihat bererti semua peniaga perlu menjalankan urusan perniagaan secara jujur dan adil. Dalam dunia perniagaan yang sihat, semua peniaga tidak boleh mengkhianati peniaga yang lain dengan apa cara sekalipun. Misalnya dilarang menjatuhkan pesaingnya dengan memburuk-burukkan pesaingnya, mendapatkan maklumat penting peniaga lain dengan cara yang haram seperti pemberian rasuah kepada kakitangan peniaga tersebut. Sebaliknya, mereka patut berkongsi untuk mencari faedah bersama seperti mengamalkan perkongsian pintar supaya sama-sama mendapat untung dalam perniagaan.
Persaingan yang sihat adalah seperti menghasilkan produk berkualiti, kecekapan kos, penggunaan sumber dengan optimum, aplikasi penggunaan teknologi yang maju, pelaburan dalam kajian dan pembangunan dan sebagainya. Sementara persaingan yang tidak sihat adalah seperti berpakat dengan pesaing lain untuk menetapkan harga, meletakkan harga lebih rendah daripada kos supaya dapat menyingkirkan pesaing daripada pasaran, memburuk-burukkan produk lain dalam iklan dan sebagainya.
Kajian menunjukkan bahawa persaingan yang sihat dapat memberi manfaat kepada pengguna. Apabila ini berlaku, kuasa pembelian pengguna akan meningkat apabila harga barangan turun. Sebagai contoh, orang yang kurang berkemampuan mahu membeli sehelai baju yang berharga $25. Kesan daripada persaingan, harga baju tersebut menurun kepada $20. Maka, pengguna tersebut telah menjimatkan $5, yang mana boleh digunakan untuk membeli barangan lain.
Hakikatnya, apabila ada persaingan antara para peniaga, secara tidak langsung pengguna akan mendapat banyak manfaat. Pembeli atau pengguna mempunyai banyak pilihan dan citarasa untuk memilih barangan yang mereka mahu. Pilihan pengguna tidak lagi terhad kerana banyak jenis barangan di pasaran. Pengguna juga dapat menikmati barang berkualiti tinggi pada tahap harga yang rendah. Di samping itu pengguna juga terdedah kepada pelbagai pertukaran teknologi dan ilmu pengetahuan dari negara lain.
Dalam persaingan, harga merupakan satu aspek yang sangat penting yang sering dititikberatkan oleh seseorang peniaga. Pelbagai strategi dilakukan bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi keperluan dan kehendak pengguna dan mendapatkan kelebihan bersaing. Antara strategi yang biasa digunakan oleh peruncit ialah strategi harga rugi. Penggunaan strategi ini adalah bertujuan sebagai satu promosi untuk menarik pelanggan datang ke premis perniagaan. Biasanya, barangan yang ditawarkan dengan harga ini ialah barang-barang yang popular di mana ia kerap digunakan oleh pengguna seperti barang keperluan harian. Ini memberi banyak manfaat kepada pengguna kerana pengguna dapat membeli sesuatu barangan dengan harga yang amat murah.
Sebenarnya, harga memiliki dua peranan utama dalam proses pengambilan keputusan para pembeli, iaitu peranan alokasi dan peranan maklumat. Peranan alokasi daripada harga adalah fungsi harga dalam membantu para pembeli untuk memutuskan cara memperoleh manfaat atau utiliti tertinggi yang diharapkan berdasarkan kekuatan membelinya.
Dengan demikian adanya harga dapat membantu para pembeli untuk memutuskan cara mengalokasikan kekuatan membelinya pada berbagai jenis barang dan perkhidmatan.
Pembeli membandingkan harga dari berbagai-bagai alternatif yang tersedia, kemudian memutuskan alokasi dana yang dikehendaki. Peranan maklumat daripada harga adalah fungsi harga dalam ‘mendidik’ pengguna mengenai faktor produk, misalnya kualiti. Perkara ini bermanfaat dalam situasi di mana pembeli mengalami kesukaran untuk menilai faktor produk atau manfaatnya secara objektif.
Persepsi yang sering berlaku adalah bahawa harga yang mahal mencerminkan kualiti yang tinggi.
Satu lagi strategi yang digunakan dalam persaingan ialah strategi harga rendah. Strategi ini digunakan ke atas barangan yang mempunyai permintaan yang tinggi dan disukai ramai. – Agensi