Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peniaga perlu lebih berdaya saing

    Dalam suasana global yang masih lagi dibelenggu dengan wabak COVID-19 ini, negara ini amat bertuah dan bersyukur kerana tiada lagi kes baharu yang dilaporkan.

    Ini memberi sedikit ruang dan keselesaan kepada kita untuk menjalani rutin harian walaupun dalam keadaan normal baharu. Begitu juga peniaga-peniaga yang kembali memulakan aktiviti perniagaan mereka seperti biasa untuk menjana ekonomi keluarga dan negara secara amnya.

    Walau bagaimanapun, ada sedikit rasa kecewa dan terkilan bila mana masih ada peniaga yang masih lagi tidak memulakan operasi perniagaan mereka walaupun kerajaan telah membenarkan aktiviti ini untuk dibuka semula. Seharusnya para peniaga perlu mengambil kesempatan pada masa ini untuk melariskan perniagaan mereka sementara sempadan masih ditutup kerana mahu tidak mahu warga tempatan akan berbelanja di dalam negara sahaja.

    Buktikan pada masa ini segala barangan dan keperluan yang ada di luar sana mampu disediakan oleh anak tempatan kita sendiri secara kompetitif. Jangan asyik kita melaungkan semangat #sapotlokal (support local) akan tetapi kita sendiri tidak menunjukkan semangat mampu bersaing. Jadikan masa ini masa yang terbaik untuk kita berniaga dan bersaing sesama sendiri.

    Lihat sahaja di Pasar Serba guna Gadong kini, walaupun langkah-langkah pengawasan telah pun dilaksanakan di sana tetapi jumlah peniaga yang berniaga dan gerai dibuka setiap hari tidak seperti dulu yang amat mengecewakan.

    Ke mana perginya peniaga-peniaga kita ini? Adakah mereka sudah tidak lagi mahu berniaga kerana tiada lagi pelancong-pelancong seperti sebelumnya? Keadaan ini lama kelamaan boleh menyebabkan kemerosotan punca pendapatan kepada peniaga-peniaga lain di sini oleh kerana jumlah pengunjung akan berkurangan disebabkan tiada lagi daya tarikan di sini.

    Begitu juga dengan kebanyakan pusat-pusat membeli belah di negara kita ini. Jika dilihat kebelakangan ini banyak pusat-pusat membeli belah baharu yang dibina seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Tetapi mengapa kebanyakan pengguna masih lagi tertumpu dan lebih berminat untuk berbelanja di luar sana berbanding dalam negara sendiri?

    Kepelbagaian pilihan dan harga yang jauh lebih murah adalah antara faktor utamanya. Dalam konteks ini, peniaga perlu mengambil langkah aktif dalam mempromosi dan memperhebatkan produk barangan jualan agar lebih berdaya saing sebanding dengan apa yang ditawarkan di luar sana. Ini sekali gus dapat menarik pembeli untuk terus berbelanja dalam negara walaupun sesudah tamat COVID-19 nanti. Jangan hanya ia sementara sahaja kerana terpaksa dan tiada pilihan lain.

    Dan sebagai seorang pengguna, saya amat berharap agar peniaga-peniaga tidak sama sekali mengambil kesempatan menaikkan harga barangan pada masa ini seolah-olah menjerat pembeli yang sedang kesempitan. Ini kerana banyak terdengar keluhan barangan semakin mahal dengan alasan stok sukar didapati.

    Peniaga perlu lebih telus dan peka tentang perkara ini. Diharap agar semua peniaga di negara kita ini akan terus maju dan berdaya saing.

    Pengguna Prihatin

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda