Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peninggalan pangkalan udara sembunyi nostalgia lama

    GJADER, Albania – Di tepi sebuah bukit yang tandus ke utara Albania, terletak sebuah portal milik masa lampau negara komunis, di mana pintu keluli besar dibuka dan memperlihatkan bekas peninggalan pangkalan udara yang berada di tengah-tengah pergunungan.

    Terdiri daripada terowong-terowong setinggi 600 meter (1,980 kaki) yang pernah dipenuhi dengan kehidupan tentera, pangkalan udara rahsia Gjader kini menjadi gudang bagi berbelas-belas pesawat penggempur MiG era komunis yang diselubungi dengan debu dalam kegelapan.

    Tiga dekad selepas jatuhnya komunisme, pihak berkuasa Albania masih cuba untuk menjual pesawat buatan Soviet dan China, di mana terdapat berbelas-belas lagi pesawat di pangkalan udara berhampiran.

    “Menjajarkan peralatan dan senjata kami mengikut piawan NATO adalah sebahagian daripada ‘bab baharu’ Albania dengan perikatan alians, yang disertainya pada tahun 2009,” kata Ketua Pertahanan tentera, Bardhyl Kollcaku.

    Bagi MiG, “Selain daripada nostalgia, kami akan mengekalkan sebahagiannya dalam muzium kami…selebihnya akan diletakkan menurut undang–undang domestik untuk dijual atau kegunaan lain,” dia memberitahu AFP.

    Pegawai tentera Albania sedang memerhatikan jet pejuang MiG-19 di dalam terowong utama Pangkalan Udara Gjader yang dibina berhampiran bandar Lezhe. – AFP
    Suasana di bahagian pintu masuk (belakang) terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Anggota tentera Albania sedang meronda-ronda di dalam ruangan terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Seorang pegawai tentera Albania memeriksa jet pejuang MIG-19 di dalam terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Fatmir Danaj, memeriksa jet pejuang MiG-19 di dalam terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Pegawai tentera Albania berjalan keluar dari terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Fatmir Danaj, semasa diwawancara oleh wartawan AFP di hadapan jet pejuang MiG-19, di dalam terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Seorang askar Albania memasuki terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP
    Suasana di pintu masuk terowong utama Pangkalan Udara Gjader. – AFP

    Jet-jet era komunis, yang melibatkan model-model MiG-19, MiG-17 dan MiG-21 adalah di antara model yang tidak digunakan lagi lebih daripada sedekad.

    Tetapi muzium-muzium, pengumpul dan penerbangan awam lain sudah menyuarakan minat mereka untuk terus memelihara peninggalan itu.

    Apabila Albania kali pertama membincangkan untuk menjual MiG pada tahun 2016, Air and Space Museum di Perancis, dan sekolah penerbangan di Jerman menyatakan minat mereka bagi tujuan itu.

    Namun sehingga kini, tiada proses tanda-tanda penjualan telah dilakukan, dengan kertas kerja perundangan telah menjejaskan lagi proses tersebut.

    Individu-individu juga berada dalam senarai menunggu, termasuk seorang ahli perniagaan Perancis yang berpangkalan di Albania, Julien Roche, yang merancang untuk meletakkan pesawat tersebut di tamannya.

    “Ia bukanlah mudah untuk mendapatkan pesawat seperti ini sekarang, kerana kesemuanya telah musnah, tidak disimpan seperti di Albania,” dia memberitahu AFP, dari rumahnya yang dipenuhi dengan barangan eksentrik.

    Dia telah meletakkan namanya di salah sebuah model-model paling lama, MiG-15 buatan China dengan tag harga sekitar 10,000 euro (AS$11,000), yang digunakan oleh Korea Utara sebelum dijadikan hadiah kepada Albania.

    Sama seperti 7,000 kubu-kubu keselamatan konkrit yang mengelilingi luar bandar, pangkalan Gjader rahsia itu adalah sebahagian daripada bekas rancangan diktator komunis, Enver Hoxha untuk mengukuhkan negara itu daripada penjajahan asing yang ditakuti.

    Lebih daripada 600 orang anggota tentera biasa bertugas dalam rangkaian terowong yang ditutup pada tahun 2000 itu dan sehingga kini, kawasan itu masih lagi terbatas kepada orang awam.

    Jet-jet yang diterbangkan selepas tahun 2000 menggunakan pangkalan tentera yang berbeza, sehingga pesawat terakhir dikeluarkan daripada perkhidmatan berikutan kejadian kemalangan yang berlaku pada tahun 2004.

    Selepas terowong-terowong rahsia ini didedahkan kepada AFP, pemerintah pangkalan tersebut sekarang, Fatmir Danaj, mengakui bahawa pesawat-pesawat lama itu telah membangkitkan semula nostalgia yang tidak dijangka.

    “Kegembiraan untuk menerbangkan pesawat dan bertugas di pangkalan ini tidak dapat dibayangkan,” kata Danaj, 52, ketika dia memancarkan lampu suluhnya ke arah barisan jet-jet berwarna perak, ketika menjadi juruterbang muda, digunakannya untuk mendarat di atas landasan yang kemudiannya dimasukkan ke dalam terowong di pergunungan itu.

    Hari ini, berpuluh buah bilik di dalamnya termasuk sebuah kafeteria, dormitori dan pejabat lainnya dilihat kosong kecuali terdapatnya serpihan dan papan tanda yang sudah pudar di pintu-pintu yang memaparkan fungsinya.

    Bagaimanapun, dalam sebuah pejabat kosong, masih terdapat tanda peringatan di sekeliling dindingnya yang berbunyi ‘Perhatian! Letakkan dokumen dalam fail tertentu dan hantar ke pejabat pentadbir sulit sebelum meninggalkan tempat kerja.’

    Hampir 40 tahun pemerintahannya, Hoxha menukar Albania menjadi sebuah negara tentera di Balkan.

    Ledakan pada tahun 1997, tujuh tahun selepas kejatuhan komunisme apabila negara itu dibelenggu oleh pemberontakan bersenjata yang menyaksikan rakyat menyerbu kenderaan berperisai dan pangkalan tentera bagi mendapatkan senjata. Gjader juga diceroboh, dengan orang ramai mencuri senjata dan menjual alat ganti sebahagian MiG sebagai besi buruk.

    Hari ini tentera udara Albania hanya memiliki sebahagian kecil armada helikopter dan ruang udaranya dilindungi oleh NATO. Dalam petanda perubahan masa, pangkalan NATO pertama di rantau Balkan akan dibangunkan di Kucova, Albania, yang pernah dikenali sebagai ‘Stalin City’ sebagai simbol persahabatan ketika itu di antara Albania dan Kesatuan Soviet. Tetapi Danaj masih mengimpikan untuk melihat Gjader kembali ke zaman kegemilangannya.

    “Pangkalan itu akan bertindak sebagai muzium, tetapi jika dengan infrastruktur moden, ia boleh berfungsi sekali lagi dan memberikan perkhidmatan bersama NATO,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda