Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan AI dalam bidang ketenteraan perlu kerjasama global

    SEOUL, 16 SEPT – Kerjasama antarabangsa antara negara dan pemain utama dalam pertahanan adalah penting di tengah-tengah peningkatan pesat penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang ketenteraan.

    Pakar industri yang menyertai Sidang Kemuncak REAIM (AI Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan) kedua, yang dianjurkan bersama oleh Korea Selatan di ibu negara baru-baru ini, bersependapat terdapat keperluan kritikal untuk mewujudkan peraturan dan mekanisme pengawasan yang berkesan bagi mengawal penggunaan AI serta mengelakkan penyalahgunaannya dalam pertahanan dan peperangan.

    Paul Scharre, Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Kajian di Pusat Keselamatan Amerika Baharu (CNAS), sebuah badan pemikir bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Washington dan memberi tumpuan kepada keselamatan serta pertahanan, berkata undang-undang peperangan mesti diterapkan pada AI dan aplikasinya dalam sektor itu.

    Beliau berkata pada masa ini tiada peraturan khusus mengenai bagaimana AI digunakan dalam ketenteraan.

    “Saya rasa kita perlu negara-negara untuk bersama-sama merangka peraturan bagi tadbir urus global mengenai penggunaan AI dalam ketenteraan sekarang, untuk menentukan apa yang sepatutnya menjadi peraturan.

    Apa jenis penggunaan AI dalam ketenteraan yang boleh diterima dan yang mana tidak boleh diterima,” katanya kepada Bernama di luar sidang kemuncak itu.

    Beliau berkata tugas itu mungkin tidak mudah, tetapi pastinya boleh dilakukan kerana sejarah telah menunjukkan negara-negara boleh bekerjasama untuk menetapkan peraturan dalam peperangan.

    “Mereka tidak selalunya berjaya, tetapi ada contoh kejayaan dalam usaha untuk mengharamkan penggunaan periuk api, peluru kluster, laser dan senjata nuklear.

    “Jadi kita tahu bahawa ada kemungkinan bagi negara-negara untuk bekerjasama mengenai cara mereka menggunakan teknologi AI dalam peperangan,” kata Scharre. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda