Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan ke tahap kedua bagi dua pusat, balai pameran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini meningkatkan tahap 2 kesediaan operasi bagi pusat-pusat penjagaan kanak-kanak, pusat kelainan upaya, balai-balai pameran, muzium dan perpustakaan, manakala bagi kolam renang pula pada tahap pertama de-escalation.

    Ini susulan perkembangan terkini wabak COVID-19 yang semakin terkawal di negara ini, menurut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Beliau pada masa yang sama turut mengumumkan de-escalation tahap ketiga bagi kemudahan gim, pusat kecergasan dan sukan-sukan yang lebih banyak dan tahap pertama bagi kolam renang (berita lanjut di Muka 24). Yang Berhormat Dato ketika menyentuh mengenai tahap de-escalation kedua bagi pusat penjagaan kanak-kanak, pusat kelainan upaya, muzium-muzium dan balai-balai pameran serta perpustakaan menyatakan ia akan bermula pada 6 Julai berpandukan syarat dan garis panduan.

    Antara syarat dan garis panduan tersebut ialah pusat penjagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada 30 peratus kapasiti kepada 60 peratus kapasiti pada satu-satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang pusat. Ia juga hanya dibukakan kepada kanak-kanak yang berumur 1 tahun ke atas dan aktiviti adalah terhad kepada aktiviti individu sahaja (one-on-one activity). Walau bagaimanapun, kebenaran bagi pusat berkenaan untuk beroperasi di tahap de-escalation tahap kedua adalah tertakluk kepada kelulusan hasil pemeriksaan pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Manakala peningkatan kapasiti bagi pusat orang kelainan upaya juga sama, tertakluk kepada ruang dan dibukakan kepada mereka yang berisiko rendah dan sederhana. Bagi yang berisiko rendah hendaklah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, berupaya menjaga dan mengurus diri sendiri dan boleh berkomunikasi.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah.

    Bagi sederhana pula, mereka tidak mempunyai sebarang penyakit kronik namun memerlukan bantuan dalam menguruskan diri dan mempunyai masalah berkomunikasi. Aktiviti pusat pula terhad kepada aktiviti dalaman sahaja, dengan aktiviti luar dan berkumpulan tidak dibenarkan.

    Balai pameran, muzium dan perpustakaan juga akan menyaksikan peningkatan kapasiti sama dalam satu masa dan jika berkumpulan, tidak melebihi 50 orang yang juga tertakluk kepada kapasiti ruang.

    Ia akan dibuka lima hari dalam seminggu iaitu Selasa, Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad bagi tempoh lima jam sehari, manakala operasi bagi galeri-galeri pameran lain tertakluk kepada pemilik masing-masing.

    Yang Berhormat Dato turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama diberikan orang ramai ketika berkunjung ke pusat-pusat sukan, penjagaan kanak-kanak, pusat OKU, muzium, galeri dan perpustakaan dari mula pelaksanaan de-escalation lagi.

    Menurutnya, kementerian akan terus memantau pusat-pusat ini agar mematuhi garispanduan dan syarat yang ditetapkan oleh kementerian dan Kementerian Kesihatan.

    Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan bahawa hasil tinjauan dan pemeriksaan ke atas pusat dan fasiliti sukan, sebanyak tiga premis tidak mematuhi garis panduan yang dikuatkuasakan ketika pemeriksaan ke atas 62 premis pada Jun lalu.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda