Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peningkatan kes denggi gugat tabung darah Bangladesh

    DHAKA – Tabung darah Bangladesh yang berpusat di Dhaka, kini sedang bergelut untuk mengisi rak bekalan darah dengan beg platelet.

    Keperluan untuk pendermaan darah meningkat secara mendadak dan kadang kala di paras yang membimbangkan kerana ia melibatkan pesakit yang menghidapi denggi.

    Bangladesh mengalami lonjakan yang ketara dalam kes demam denggi dalam beberapa bulan kebelakangan, dengan 15,976 kes dan 59 kematian akibat penyakit tropika bawaan nyamuk dicatat setakat tahun ini, menurut Direktorat Umum Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) negara itu baru-baru ini.

    Tabung darah Dhaka berdepan masalah penggunaan darah yang terlalu banyak untuk pesakit denggi dan jumlah platelet sangat rendah. Di dalam tabung darah utama di Dhaka baru-baru ini, ramai yang menunggu preskripsi doktor untuk pemindahan platelet untuk pesakit mereka. Di samping itu, pekerja perubatan dilihat sangat sibuk menguruskan pengumpulan darah dari penderma dan sampel ujian.

    Baru-baru ini, beberapa buah hospital awam utama di Dhaka dibanjiri oleh pesakit yang menghidap demam denggi. Berdasarkan wilayah, Dhaka dan daerah sekitarnya masih dianggap lebih rentan terhadap risiko penyakit bawaan nyamuk, menurut DGHS.

    Beberapa petugas makmal melaksanakan tugasan mereka di tabung darah. – Xinhua
    Gambar menunjukkan beg platelet di bank darah di sebuah hospital di Dhaka, Bangladesh. – Xinhua

    “Saya mempunyai seorang pesakit di Hospital dan Kolej Perubatan Dhaka. Saya datang untuk menderma darah untuknya,” kata Md Sajjad Hossain Shaon, dari Narayanganj di pinggir Dhaka, ketika menunggu giliran di luar tabung darah.

    Seorang lagi penderma darah yang menggelarkan dirinya Rizvi berkata tiga orang saudara terdekatnya kini menderita demam denggi dan mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Seorang pesakit denggi mungkin memerlukan tiga hingga enam beg darah untuk memperbaiki kondisi mereka, menurut doktor.

    Ashraful Haque, seorang penolong profesor di Jabatan Pemindahan Darah di Sheikh Hasina National Institute of Burn and Plastic Surgery (SHNIBPS), berkata ketika musim denggi sedang melanda, ‘jumlah yang terjangkiti adalah pada kadar yang ramai.’

    Dia menambah, mereka yang dijangkiti harus mengambil pelbagai ubat kerana COVID-19.

    Ini sebenarnya menyebabkan banyak masalah yang berkaitan dengan darah, katanya, jangkitan koronavirus boleh menjadi antara penyebab pembekuan darah atau sebaliknya.

    “Komplikasi seperti itu meningkat di kalangan pesakit pasca-COVID. Oleh kerana peningkatan komplikasi, permintaan darah meningkat sangat tinggi tetapi kita tidak mendapatkan penderma darah yang mencukupi melebihi permintaan yang terlalu tinggi,” kata Haque ketika tabung darahnya sesak dengan mereka yang ingin menderma darah mereka kepada pesakit yang dijangkiti demam denggi. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda